Bacaria : Suara generasi baru

 


Muka Depanteam EditorialLanggan Bacaria!PengiklananMaklum Balas

Nostalgia Raja Sehari
MUKA DEPAN

Taktik Tipu Polis
Tukar nombor plat palsu sebelum memulakan perjalanan jauh.



KEBETULAN saya duduk di beranda rumah dan melihat ke tempat letak kereta. Ketika itu saya terpandang jiran saya menukar nombor plat keretanya dengan plat nombor lain.

“Masa itu, saya terfikir bahawa caranya adalah untuk mengelakkan diri daripada terkena saman trafik terutama perangkap had laju. Maklumlah, polis sentiasa menjalankan Ops Sikap setiap kali perayaan,” kata seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Azman.

Tambah Azman, dia pernah melihat jirannya menukar nombor plat kereta ketika hendak pulang ke kampung semasa hari perayaan. Kejadian inilah yang membuatkan kadang kala ada di antara kita yang terkejut, keliru dan tertanyatanya apabila menerima surat saman atau surat menghadiri penyiasatan polis bagi kesalahan trafik. Lebih membingungkan lagi apabila kesalahan seperti yang didakwa itu tidak pernah dilakukan. Malah, masa dan tempat seperti yang didakwa ada kalanya tidak masuk dek akal penerima.

Itulah yang terjadi kini. Kesalahan trafik yang dilakukan orang lain menyebabkan pemilik nombor pendaftaran kenderaan asal yang terpaksa menanggung musibah. Pelumba haram adalah antara golongan paling popular yang dikenal pasti menggunakan cara ini.

Mereka sewenang-wenangnya menggunakan cara itu tanpa mengambil peduli kesannya kepada pemilik asal nombor tersebut. Akibatnya, pemilik asal kenderaan yang terpaksa menerima musibah. Pelbagai prosedur terpaksa dilakukan memperbetulkan keadaan. Masa dan mungkin wang ringgit digunakan untuk memberitahu hal yang sebenar kepada pihak berkuasa.

Banyak Terima Aduan - Polis

KEJADIAN menggunakan nombor plat palsu bukanlah sesuatu yang baru. Selain sering digunakan penjenayah, penipuan itu juga berlaku kerana mahu mengelak daripada perangkap had laju. Ketua Inspektor Abd Aziz Md Isa dari Cawangan Trafi k IPD Shah Alam memberitahu bahawa penggunaan nombor plat palsu sememangnya banyak berlaku dan polis sentiasa memandang berat hal tersebut.

“Kita akui memang banyak menerima aduan mengenai perkara itu. Apa yang diharapkan agar orang ramai dapat memberikan maklumat kepada pihak polis supaya perkara itu dapat disiasat.

“Mereka yang terlibat dalam penggunaan nombor plat palsu ini boleh didakwa mengikut Seksyen 108(1) Akta Pengangkutan Jalan dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali,” jelas Abd Aziz.

Antara golongan yang dilihat sering menggunakan nombor plat palsu ini adalah penjenayah, mat rempit, pemandu lori, dan juga orang ramai yang sengaja mahu mengaburi siasatan pihak polis. “Siasatan kes menjadi mudah sekiranya kenderaan yang disaman (plat palsu) berbeza dengan kenderaan pemilik asal. Kes sebegini biasanya boleh diselesaikan mengikut kepada budi bicara pegawai siasatan ke atas kes berkenaan.

“Namun, ada sesetengah kes pula, mereka (penipu) bijak dalam mencari dan memasang nombor plat ke kenderaan mereka yang sama dengan kenderaan asal. Warna dan jenis kenderaan nampak serupa dan ini menyebabkan siasatan bertambah sulit,” kata Abd Aziz. Biasanya, pengguna yang menerima surat saman atau arahan siasatan akan perlu menunjukkan bukti seperti kad pendaftaran kenderaan yang asal, polisi insuran kenderaan, kad pengenalan, lesen memandu, geran kenderaan dan laporan polis bagi kes kemalangan.




 

Hakcipta Terpelihara
Bahan-bahan di laman web ini adalah untuk kegunaan persendirian sahaja.
Sebarang bentuk penyalinan, siaran, cetakan semula artikel dan gambar untuk kegunaan komersil adalah dilarang.
© 2007 - All Right Reserved by Karangkraf.com