Majalah PC > Fokus
Konsep Pengkomputeran Awan
Kemudahan pengkomputeran dibawakan secara talian.
 |
PENGKOMPUTERAN
AWAN bukanlah satu konsep baru cuma akhir-akhir ini sahaja kita sering mendengar tentangnya setelah Microsoft secara besar-besaran membuat pelaburan dan pengumuman komitmen serius mereka terhadap pengkomputeran awan. Jika hendak diikutkan, konsep pengkomputeran awan telah lama wujud iaitu sejak 1960 lagi apabila John McCarthy menyatakan pendapatnya bahawa pengkomputeran suatu hari nanti akan diuruskan sebagai satu kemudahan awam. Masanya telah tiba dan kini pengkomputeran awan sudah semakin popular di kalangan pengguna, syarikat mahupun organisasi seluruh dunia. Secara asasnya kita boleh fahami pengkomputeran awan sebagai pengkomputeran berasaskan Internet di mana perkongsian sumber, perisian dan informasi disediakan untuk komputer serta peranti secara talian. Jika hendak menaip dokumen misalnya tidak perlu lagi memasang sut Microsoft Office kerana menerusi pengkomputeran awan, aplikasi ini juga boleh didapati dan digunakan secara talian.
Pengkomputeran awan merupakan satu anjakan paradigma yang muncul selari dengan perubahan pelayan klien pada awal 1980. Perincian diabstrak daripada pengguna yang tidak lagi memerlukan kepakaran, kawalan atau infrastrutur teknologi yang terlalu teknikal. Pengkomputeran awan kebanyakkannya dibina dengan konsep 'pengguna' di minda membolehkan sumber, penggunaan dan model penghantaran servis IT difahami serta digunakan dengan mudah menerusi Internet.
Infrastruktur paling lazim untuk menjelaskan konsep pengkomputeran awan ini adalah peralatan atau aplikasi berasaskan web yang boleh diakses pengguna menerusi pelayar web. Ia seolah-olah terpasang (install) pada komputer peribadi seperti Picasa yang membenarkan suntingan gambar menerusi pelayar; Windows Azure; Google App; atau Zoho yang menawarkan peralatan suntingan dokumen. Selain itu banyak juga aplikasi yang pastinya telah anda ketahui cuma tidak begitu mengenalinya sebagai aplikasi dibawah konsep pengkomputeran awan.
National Institute of Standard and Technology (NIST) pula menyediakan definisi lebih spesifik dan objektif tentang pengkomputeran awan. 'Cloud' yang sering digunakan untuk mewakili rangkaian telefon dipinjam dan diadaptasi dalam diagram rangkaian komputer untuk mewakili infrastruktur yang disediakan olehnya dan untuknya (komputer). Mungkin kerana inilah terlahirnya perkataan 'Cloud' bagi menjelaskan infrastruktur atau servis yang menjadi tunjang utama konsep ini.
|