Aloha


Adobe Perkenalkan Photoshop Element untuk Mac

Adobe Systems Incorporated baru-baru ini mengumumkan bahawa perisian popular Adobe Photoshop Element 6 untuk Macintosh sudah boleh didapati bagi tempahan awal di www.adobe.com/go/buyphotoshop_elements_mac. Ia menawarkan gabungan kuasa dan penggunaan mudah agar pengguna setiap peringkat mampu mengendalikannya dan mencapai hasil terbaik dengan foto digital meskipun tanpa kemahiran tinggi.

Photoshop Element 6 turut membenarkan pengguna mengurus dan mencari foto dengan lebih pantas, helah suntingan berkuasa cara mudah dan dengan kreatif membenarkan perkongsian foto bersama individu lain. Ciri terbaru iaitu teknologi Photomerge pula membolehkan pengguna menggabungkan ekspresi muka terbaik dengan bahasa tubuh daripada beberapa siri rakaman untuk menghasilkan rakaman tunggal terbaik.

Ini bermakna, pengguna boleh memilih ekspresi wajah dan gerak tubuh berlainan daripada mana-mana rakaman dalam siri tersebut untuk menghasilkan satu gambar yang menepati ciri yang dikehendaki. Peralatan Pemilihan Pantas pula membolehkan kerja memilih dan menyelaras dilakukan pada satu klik, sekali gus memberi pengguna lebih masa untuk kerja-kerja suntingan besar.

Jurufoto, sama ada profesional atau amatur akan berpuas hati dengan tiga mod suntingan yang disediakan. Salah satunya ialah mod Guided Edit yang memberi pengguna langkah demi langkah untuk memperbaiki foto. Ia juga disediakan mengikut tahap kepakaran berbeza bagi pengguna mencubanya. Perisian ini turut menstrim suntingan dengan jelas, tidak kabur pada skrin dan memberi fokus terhadap foto.

Tab terbaru pula menyediakan akses mudah untuk pelbagai fungsi pada program sementara peningkatan tambahan boleh dibuat seperti peralatan pertukaran yang secara dramatik menukarkan warna imej kepada elegan mahupun hitam dan putih. Element 6 turut menawarkan pilihan kreatif perkongsian foto seperti menghasilkan buku skrap, buku foto, kad ucapan, salin pada CD atau DVD dan banyak lagi.

Boleh dijalankan pada sistem operasi Leopard atau versi Macintosh terdahulu, perisian ini dibuka untuk tempahan pada harga RM339 (termasuk penghantaran). Maklumat lanjut boleh didapati daripada laman web yang disediakan.