Ya Tuhan!
Makan hati dengan sikap pilih kasih nenek
Kita selalu dengar cerita menantu bermasalah dengan
mentua. Macam-macam kisah dipaparkan sehinggakan ada kalanya rumah tangga
boleh runtuh. Tapi bukan kisah mentua minggu ini tapi luahan hati seorang
cucu mengenai sikap neneknya yang pilih kasih, sering membeza-bezakan antara
satu cucu ke cucu lain. Bukan itu saja, habis satu rumah dibencinya. Sebagai
cucu, dia tidak tahu di mana silap dan salah keluarganya. Semoga kisahnya
dapat dijadikan pengajaran bagi yang mengalami masalah yang sama.
Sekian lama pendamkan perasaan, baru kali ini saya terjumpa cara terbaik untuk
menyelesaikan masalah dihadapi oleh keluarga. Bukan tidak ada yang nasihat
tapi ramai yang menyuruh bersabar sedangkan sebagai manusia biasa, kesabaran
saya boleh menipis kalau setiap hari dicerca. Segalanya bermula selepas kematian
datuk. Kasih sayang nenek kepada kami bertukar menjadi dendam kepada keluarga
saya. Nenek menyerahkan semua harta peninggalan datuk kepada anak perempuannya
tanpa mempedulikan bapa dan adik-beradik lelaki yang lain.
Ayah menganggapnya sebagai tidak adil di mana harta perlu difaraidkan. Tidak
cukup itu, nenek bertindak di luar jangkauan fikiran kami. Memandangkan kami
tinggal bersebelahan dengan rumahnya, segala sakit pening nenek, demam dan
sebagainya, sudah tentu keluarga saya yang uruskannya dahulu. Tapi malangnya,
nenek memburukkan kami kepada orang kampung yang bukan-bukan. Lebih menyedihkan
dia menuduh saya cucu pemalas, tidak kenang budi dan kalau dia sakit atau
demam, tidak pernah ambil tahu pun.
Itu tak mengapa lagi, tapi nenek turut burukkan semua ahli keluarga saya termasuk
mak dan ayah. Kata mak, nenek tidak menyukainya yang berkahwin dengan ayah.
Kata mak, nenek tidak pernah menyentuh saya sejak dilahirkan. Tapi kalau anak
bongsunya datang, nenek akan masak besar-besaran tapi sedikit pun dihulurkan
kepada kecuali lebihan sisa mereka makan.
Nenek juga seorang berhati busuk, tidak boleh tengok keluarga kami senang
sikit. Dia juga musnahkan impian saya untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.
Kisahnya begini. Selepas tamat tingkatan lima, saya bekerja kerana mahu meringankan
beban keluarga. Alhamdulillah, saya dapat kerja sebagai kerani. Bila keputusan
peperiksaan keluar, saya memohon ke universiti tetapi tiada rezeki. Saya masih
terus bekerja dan dapatlah membeli mesin basuh, peti ais dan barangan dapur
serta sebagainya tanpa minta bantuan pada sesiapa.
Nenek mengambil kesempatan ini dengan mengajak saya menemaninya ke rumah anak
kesayangannya. Tanpa prejudis, saya percaya kepadanya tambahan pula hanya
jarak lima minit dari rumah mak saudara ke tempat kerja. Malam pertama, saya
telah 'dibasuh' cukup-cukup, mereka menghina saya dan sebagainya dan kemudian
menawarkan untuk membiayai pelajaran saya ke universiti. Bersungguh-sungguh
mereka untuk membantu saya. Bila saya memohon kembali ke universiti, permohonan
diterima. Dengan syarat, saya mesti berhenti kerja.
Malangnya, bila saya tunjukkan surat tersebut, nenek dan mak saudara seolah-olah
buat tidak faham, malah menafikan pernah membuat tawaran mahu membiayai persekolahan
saya. Kata mereka, saya anak orang miskin yang ada hati untuk belajar tinggi-tinggi
dan menyusahkan mak ayah. Puncanya mereka dengki saya belikan barangan keperluan
dapur untuk keluarga. Nenek terus mencerca keluarga kami, yang bila mana adanya
barangan elektrik itu nanti, rumah kami akan roboh.
Pernah suatu ketika, saya terserempak dengan nenek di kedai. Di hadapan orang
ramai, dia tidak mengaku mengenali saya. Saya terus menangis dan ceritakan
hal ini pada mak. Kata mak, dia sudah lama menderita dan menyuruh saya bersabar
seperti dirinya. Setiap kali buat keramaian, nenek akan menyuruh kami sekeluarga
memasak.
Tapi malangnya, kami tidak diberi makan dan hanya makan lebihan sisa orang.
Kami juga perlu mengemas dari awal sampai akhir tanpa dibantu oleh anak kesayangannya.
Kalau kami tersilap sikit, di depan tetamu kami akan dijerkah. Saya cukup
sedih diperlakukan begini. Sampai bila kami harus bersabar dengan apa yang
terjadi. Saya mengharapkan kekuatan untuk meneruskan kehidupan.
Sebolehnya, saya tidak mahu orang luar mengalami nasib seperti yang saya alami
ini.
Bantulah saya, bagaimana harus ditangani sikap buruk nenek itu.