Kandungan Laman Impiana
     
  Ketinggalan edisi lepas?
Hubungi:
Unit Langganan & Pengedaran
03-51013651/652
 
•   Laman Utama   Taman Hebat  •   Isu Pilihan   •   Hortikultur   •  DIY   •
• 
Aksesori   •   Dekorasi   •   Promosi    •  Cover Lepas     



* Sila klik pada gambar untuk gambar-gambar yang seterusnya.


Isteri cemburu taman melebihi segalanya


Berada di taman peribadi milik pasangan romantis Mano dan Rani membuatkan penulis dibuai rasa leka dan asyik. Sehinggakan waktu berlalu dirasakan bagaikan terhenti kerana mata, hati dan fi kiran begitu sibuk menikmati pemandangan yang dipersembahkan. Setiap tanaman-tanaman hiasan yang ditanam menghadiahkan rupa segar dan bertenaga. Ini menandakan ia dipelihara dan diselenggara dengan sempurna. Secara tidak langsung membuktikan bahawa pemiliknya benar-benar bersungguh-sungguh dan menggemari aktiviti berkebun dan seni taman sekalipun dirinya dihambat waktu yang tidak bersisa.

Daripada proses mencuba, pemilik sedaya upaya berusaha untuk menambah baik keadaan dan penataan taman peribadi, selain belajar mengenali karakter setiap tanaman-tanaman hiasan yang ditanam. Berkat kegigihan yang ditunjukkan mencambahkan rasa cinta pada taman sehinggakan mengundang rasa iri hati si isteri. Lokasi kediaman yang berada ‘tersembunyi’ daripada kesibukan kota (biarpun sebenarnya lokasi ini berada dekat dengan pusat membeli-belah ternama ibu kota) menambah suasana damai sehingga membuatkan penulis seakan tidak mahu pulang sebaik sahaja sesi fotografi tamat.

“Pada pendapat saya, taman yang dibina perlulah mempunyai prinsip utama untuk mencipta atau menghasilkan unsur-unsur privasi buat pemiliknya. Oleh sebab itulah, saya cuba mewujudkan sebuah taman yang terlindung daripada pandangan luar dengan menanam pokok-pokok yang bersesuaian. Antara yang menjadi pilihan saya adalah pokok-pokok berdaun lebar, boleh tumbuh tinggi dan merimbun. Saya percaya bahawa sebuah taman yang sempurna dan hebat perlulah dihiasi dengan pokok-pokok yang segar, sihat dan terjaga rapi. Sebuah taman yang baik bukan hanya dapat memberikan rasa tenang dan privasi kepada kita tetapi juga mestilah memberikan kegembiraan yang berterusan dari pagi sehinggalah malam,” jelas Mano tentang falsafah atau prinsip yang digenggamnya dalam membina taman idamannya ini.

Justeru tidak hairanlah sekiranya taman di kediamannya ini secara asasnya dikelilingi dengan penanaman tanaman-tanaman hiasan seperti palma Cyrtostachys renda atau Lipstick palm atau Maharajah palm, Bambusa multiplex, Heliconia spp., Dypsis lutescens atau Butterfly palm, Rhapis excelsa dan lain-lain sebagai pokok pagaran. Kesemua tanaman-tanaman hiasan suai matahari ini (sun loving plants) ini mempunyai ciri-ciri baik untuk memagari kawasan kediaman daripada padangan luar. Selain daripada itu, tanaman-tanaman ini juga berupaya untuk meredakan tiupan angin kencang, habuk dan sebagainya ke dalam kawasan kediaman.






- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - -


‘Secret Garden’ suntik rasa bahagia


Kesempatan berkunjung ke beberapa kediaman hebat di Negeri Sembilan membuatkan krew LAMAN terus bersemangat ‘menggeledah’ keunikan seni dekorasi taman yang ada. Berbekalkan petunjuk dan pandu arah daripada pereka bentuk taman Suhaimi Saadon yang begitu teruja untuk berkongsi idea, memudahkan perjalanan mencari kediaman yang satu ini.

Bekerja di Kuala Lumpur dan tinggal di Seremban mungkin telah menjadi perkara biasa bagi kebanyakan orang. Semuanya didorong oleh keperluan privasi yang perlu diisi terutamanya pada satu ruang yang jauh dari ‘bau’ kota yang kurang enak dan menyesakkan. Bayangkan mereka terpaksa berulang alik sejauh lebih kurang 100 kilometer setiap hari semata-mata untuk mendapatkan ketenangan hidup dan diri. Tambahan lagi nilai hartanah yang jauh lebih rendah berbanding di kawasan kota dirasakan lebih berbaloi; saiz tanah yang luas dalam harga yang mampu dimiliki.

Apa yang membanggakan adalah pemilik kediaman ini masing-masing berusia awal 30-an. Barangkali ramai yang kurang percaya bahawa mereka telah mampu memiliki sebuah kediaman yang hampir sempurna sebegini. Segalanya saling melengkapi. Setelah memperkenalkan diri, “Masuklah, mak tidak ada. Kami tinggal sekeluarga,” Aida Samira yang lebih mesra dikenali sebagai Mira membuka bicara. “Ingatkan anak kepada tuan rumah. Alangkah bertuahnya badan”, detik hati penulis seketika sebaik mengetahui bahawa wanita yang ditegur tadi adalah tuan rumah. Seindah namanya, Mira cantik dan nampak matang mengendalikan tetamu yang baru dikenali seperti kami menjadikan kami lebih selesa. Bukan itu sahaja pasangan ini turut memiliki sepasang anak comel yang diberi nama Arianna dan Aqriz Aryan.

Benarlah kata Suhaimi, taman ini masih kekal cantik dan menawan. Suhaimi memang terkenal sebagai seorang pereka yang amat mementingkan kualiti reka bentuk. “Saya rasa awak patut datang tengok rumah ini. Saya tidak sangka ia masih cantik sejak hari terakhir saya membinanya. Luas taman tidaklah besar sangat tapi saya rasa bangga tentang cara pemilik menjaga taman. Mereka benar-benar pandai menghargai taman,” cerita Suhaimi beriya-iya. Jika dilihat menerusi pandangan mata kasar, taman ini kelihatan terlalu ringkas dan tidak banyak elemen yang cuba ditampilkan. Namun setelah diamati, Suhaimi telah ‘mengembangkan’ reka bentuknya kepada ruang tambahan lain. Ruang tambahan lain yang dimaksudkan ialah pocket garden yang terletak bersebelahan memandangkan kediaman ini ialah berkembar lot hujung. Satu kelebihan yang jarang diperolehi oleh pemilik rumah lain.


Selanjutnya dapatkan majalah LAMAN IMPIANA keluaran Januari 2010 di pasaran


 



 
Hakcipta Terpelihara © Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd