Kandungan Laman Impiana
     
  Ketinggalan edisi lepas?
Hubungi:
Unit Langganan & Pengedaran
03-51013651/652
 
•   Laman Utama   Taman Hebat  •   Isu Pilihan   •   Hortikultur   •  DIY   •
• 
Aksesori   •   Dekorasi   •   Promosi    •  Cover Lepas     


Ubah suai secara berperingkat mengikut selera

Proses ubah suai taman yang berlangsung selama tiga minggu di kediaman dua tingkat jenis semi-D milik pasangan Azham Abdullah dan Shireen Abdul Rahman di Setia Damai, Setia Alam telah dilaksanakan oleh syarikat rekaan landskap dan nurseri, Paradise Nursery. Jalinan kerjasama ini bermula sejak pemilik terbaca iklan nurseri ini di dalam majalah LAMAN dan seterusnya berminat pula untuk mendapatkan khidmat mereka bagi menambah baik keadaan taman sedia ada.

Dengan keluasan taman kira-kira 30 x 60 kaki (saiz keseluruhan tanah 40 x 85 kaki), pemilik telah melakukan pengubahsuaian melalui beberapa fasa. Fasa pertama dilakukan ketika pemilik berpindah masuk ke kediaman ini kira-kira dua tahun lepas. Ketika itu, pemilik telah dibantu oleh pereka landskap pilihannya dalam merencanakan penggantian tanah atas, penanaman rumput Filipina, penanaman pokok-pokok hiasan dan sebagainya. Kemudian, pada fasa kedua barulah taman milik pasangan ini, diserikan dengan kehadiran kolam ikan peliharaan dan juga water feature. Lebih istimewa, keindahan taman turut mendapat pengiktirafan dengan menjuarai pertandingan landskap kediaman Setia Alam kategori semi-D setahun yang lalu.

Fasa Pertama
Sebelum sebarang kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan, tapak di kediaman ini telah berganti tanah yang lebih subur dan semua sisa-sisa fizikal pembinaan yang tertanam dibuang terlebih dahulu. Pada fasa pertama, ruang taman di bahagian hadapan diperkemaskan dengan hamparan rumput karpet sehinggalah ke bahagian tengah berhampiran ruang santai. Bagi menyembunyikan keadaan fizikal dinding yang statik dan juga untuk menghalang pandangan jiran agar suasana lebih privasi, pemilik telah menanam tanaman hiasan jenis saka; Heliconia stricta yang tumbuh secara berkelompok dan padat. Selain daripada itu, keadaan ini juga telah menimbulkan keadaan redup dan selanjutnya berjaya menaikkan seri ruang yang serba kosong. Proses pengubahsuaian ini siap sepenuhnya pada awal Februari 2008.

Fasa Kedua
Pengubahsuaian selanjutnya bermula pada Ogos 2009 menyaksikan pemilik dan pereka bentuk taman dari Paradise Nursery membina sebuah kolam ikan peliharaan dan juga air terjun buatan sebagai water feature. Kedua-duanya boleh dianggap sebagai elemen pelembut taman secara keseluruhan dan juga sumber terapi semula jadi. Keadaan ini memaksa tanah yang berumput diambil alih pula oleh struktur kolam yang bersaiz sederhana dan direka berbentuk empat segi. Selain daripada itu, ruang berhampiran yang ditanam rumput turut diubah dengan peletakkan stepping stone menyerupai kayu landasan keretapi (railway sleepers) sebagai laluan utama taman. Walau bagaimanapun, pengubahsuaian fasa kedua ini tidak begitu ketara. Ini kerana proses penambah baikan hanya melibatkan penambahan tanaman-tanaman hiasan pada koleksi atau senarai sedia ada bagi mencantikkan lagi suasana persekitaran kediaman. Antara tanaman-tanaman hiasan yang ada adalah Never-never plant (Ctenanthe oppenheimiana ‘Tricolor’), Philodendron xanadu, Calathea spp., Spider lily (Hymenocallis speciosa) dan beberapa spesies yang lain.



- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - -


Konsep curvilinear merubah wajah taman


Suhaimi Saadon, antara ‘nama lama’ yang mencuri perhatian dalam bidang dekorasi taman sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan sejak empat tahun lalu. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa pereka berbakat seperti Suhaimi Saadon antara pereka bentuk taman yang mampu menyemarakkan lagi seni menghias taman di Malaysia amnya. Dalam tempoh itu, banyak yang telah disumbangkan oleh pereka bentuk taman profesional ini biarpun tanpa latar belakang pendidikan dalam bidang berkaitan. Ternyata pengalaman dan passion yang dimiliki oleh pereka dan pemilik kediaman ini tidak boleh dipertikaikan lagi. Sering kali dalam beberapa taman rekaannya melibatkan konsep perkongsian ruang sebagai asas reka bentuk.

Setelah melalui peringkat pembinaan taman sebanyak dua kali, open garden ini masih mampu menarik perhatian sesiapa yang menggunakan jalan perumahan berhampiran. Semakin cantik dan ‘menggiurkan’ dengan paparan tanaman topika malar hijau dan hamparan rumput yang subur. Sekali imbas ia tidak ubah seperti sebuah taman awam yang dibangunkan oleh pihak pemaju. Tetapi percayalah, apa yang cuba diketengahkan oleh Suhaimi yang juga pemilik kediaman bersebelahan pocket garden ini memerlukan lebih daripada sekadar minat. Perlunya rasa kepunyaan dan perkongsian ruang bagi membentuk persekitaran yang lebih stabil.

Sebelum
Pada peringkat kedua membina taman, Suhaimi telah menambak tanah dengan top soil dan membaik pulih kawasan penanaman rumput sebanyak dua kali bagi mendapatkan warna taman yang sekata. Laluan taman yang sebelum ini dibentuk dalam dua arah pergerakan diubah suai kepada corak laluan yang berbeza daripada sebelumnya. Taman yang terletak di Kota Kemuning ini juga tampil dalam konsep bersifat pasif berbanding eksplorasi. Ia menjurus kepada eksplorasi taman secara penghayatan dan penyediaan pemandangan yang sesuai untuk dilihat. Laluan utama taman dipenuhi dengan tanaman rumput dalam pandangan linear terus ke penjuru taman. Manakala pengisian aksesori taman juga tidak banyak diberi perhatian dengan dominasi reka bentuk penanaman pada keseluruhan reka bentuk. Apa yang ada hanyalah susunan beberapa buah tempayan besar dalam pelbagai imej rustic berlainan warna.

Tanpa binaan pagar serta tiada penghadang. Sesiapa juga bebas menggunakan taman ini. Namun adalah penting bagi tetamu untuk menghargai setiap satu elemen yang dibuat. Perkara inilah yang menjadi titik tolak keberkesanan sebuah open garden yang lebih dikenali sebagai taman terbuka selain dilihat sebagai taman awam. Ia kelihatan lebih luas dengan kawasan lapang tanaman rumput dengan dikelilingi oleh barisan tanaman pagar berbentuk kanopi berbunga bersama pilihan daun berwarna. Tidak kurang juga tanaman Rain lily berbunga putih sebagai ‘pembuka bicara’. Perspektif tirus taman yang cuba dibentuk adalah sebagai langkah percubaan pemilik dan pereka berkongsi idea taman terbuka seperti ini. Susun atur taman berada dalam reka bentuk secara langsung untuk mewujudkan penghayatan lebih jelas berbanding satu pandangan laluan sahaja iaitu daripada laluan masuk ke kediaman. Pocket garden tidak berpagar ini ini nampak lebih luas tanpa sebarang sekatan semula jadi (pokok) atau buatan (binaan pagar dan sebagainya).

Selanjutnya dapatkan majalah LAMAN IMPIANA keluaran Januari 2010 di pasaran.



 
Hakcipta Terpelihara © Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd