 |
Personaliti yang terpilih menghiasi muka depan kali ini adalah pengacara rancangan Al-Hidayah terbitan TV3 yang bersiaran setiap hari Jumaat jam 1 tengah hari.
Nazrah Noor Rahmat, 25, yang memulakan kerjaya itu setelah memenangi pertandingan Pencarian Teman Muhasabah Diri pada tahun 2007 yang diadakan bertujuan mencari pelapis untuk mengelola rancangan yang sudah bersiaran kira-kira 10 tahun itu yang dipopularkan oleh Raja Mazian.
“Masa nama saya disebut sebagai pemenang, saya macam tak percaya. Terpaku kerana tidak yakin saya yang menang. Inilah dinamakan rezeki dan dari saat itu saya mula mengasah bakat untuk menjadi seorang pengacara dan dalam masa yang sama bergelar seorang wartawan penyiaran,” ceritanya. Hadiahnya juga sungguh menarik kerana diberi kesempatan mengerjakan umrah dan melancong ke Jordan dan Syria. Tetapi pemergian itu bukan untuk melancong semata-mata, Naz diberikan tugas untuk membuat program untuk siaran. Pemergiannya selama tiga minggu bersama krew termasuk Raja Mazian dan Allahyarham Ustaz Asri (Rabbani) adalah satu pengalaman yang cukup berharga. Kini setelah terlibat dengan Al-Hidayah lebih setahun, Naz berkesempatan mengerjakan umrah sebanyak dua kali. |
Bercerita mengenai kerjayanya, Naz berkata, banyak perkara dipelajarinya dan itu sedikit sebanyak mematangkan dirinya. orang nampak kerja sebagai pengacara macam senang, ‘maintain cantik’ sahaja tetapi mereka tidak tahu proses membuatnya yang mengambil masa yang lama dan cabarannya yang adakalanya membuatkan dia menangis. “Saya perlu buat skrip sendiri, mencari bahan, menemuramah, editing dan sehinggalan hari bersiaran. Tetapi saya tidak kisah kerana saya dapat kutip pelbagai pengalaman dan ilmu yang tidak semua orang berpeluang mendapatkannya,” katanya yang mengimpikan mempunyai rancangan bual bicara Muslimah sendiri suatu hari kelak.
Saat paling gembira baginya adalah apabila cerita yang dikehendaki menepati kehendaknya dan ini memberi semangat untuk terus menghasilkan bahan kerja yang bermutu dan terkesan di jiwa. Naz juga menyukai kerjanya itu kerana dia dapat mencari saham untuk akhirat dengan menyampaikan ilmu dan maklumat kepada orang ramai. Walaupun sedikit itu sudah cukup bermakna dan bernilai.
Kahwin muda
Naz dan suaminya bertemu ketika sama-sama menuntut di Sarawak. Walaupun berlainan universiti mereka sering bertemu dan menyukai di antara satu sama lain. Mereka hanya mengambil keputusan bersatu selepas Naz pulang daripada mengerjakan umrah pada Mei 2009. “Saya pun tak sangka sebenarnya akan kahwin di usia ini. Masa saya balik dari Mekah, suami datang merisik dan ibu bapa saya bersetuju agar kami dinikahkan secepat mungkin,” katanya yang bergelar isteri Disember lalu.
Menurut Naz sebelum bersetuju dengan perkahwinan berkenaan, dia melakukan solat istiharah terlebih dahulu. Selepas yakin dengan pilihan dan mendapat petunjuk daripada Allah, dia tanpa ragu-ragu atau rasa kesal berkahwin pada usia yang masih muda. Baginya, berkahwin pada usia muda lebih selamat dan dapat mengelakkan berlaku perkara yang bukan-bukan. Dia juga beruntung kerana keluarga suaminya adalah kalangan mereka yang kuat pegangan agamanya dan ini membuatkan dia tambah yakin untuk memegang tanggungjawab di usia muda. Naz berdoa agar dikurniakan zuriat yang ramai kerana ingin kehidupannya lebih meriah. Walaupun sudah biasa sejak dulu dengan keluaga yang kecil, ke mana-mana berempat, dia seronok melihat kehidupan keluarga suaminya yang ramai adik-beradik dan anak buah.
Selanjutnya dapatkan majalah NUR Februari 2010 di pasaran sekarang!
|