Versi Digital

PARTNERS HERITAGE
Sasar pasaran sate ke luar negara

MESKIPUN masih baru dan ‘mentah’ dalam industri makanan di Malaysia, namun Partners Heritage Sdn. Bhd. (PHSB), sudah lama dikenali oleh institusi yang pernah berganding bahu dengan mereka. Malah, bolehlah dikatakan bahawa syarikat yang dikendalikan oleh dua orang sahabat baik ini iaitu Hamidi Baharuddin (Pengarah) dan Chef Zainal Ibrahim (Pengarah Operasi) semakin mendapat tempat di hati peminatnya tersendiri terutama menerusi produk sate. Biarpun tidak mempunyai jenama produk, pihaknya masih boleh tersenyum manis kerana hasrat untuk memiliki jenama yang diidamkan bakal direalisasikan sedikit masa lagi. Impian untuk memasarkan sate ke luar negara juga menjadi tunjang kekuatan mereka menghasilkan yang terbaik dan berkualiti. Ikuti temu bual RASA bersama Hamidi untuk mengetahui perkembangan perniagaan PHSB yang semakin berkembang.

RASA: Bagaimanakah perniagaan ini bermula?
HAMIDI: Pada mulanya, kami menjalankan perniagaan menjual ayam dan daging mentah yang siap diproses kepada pelanggan yang terdiri daripada kilang, syarikat penerbangan, katering dan sebagainya. Ia bermula sekitar tahun 2004. Chef Zainal merupakan individu yang bertanggungjawab mengendalikan perniagaan tersebut. Sehinggalah pada bulan Jun 2009, kami mengambil alih sebuah kilang di kawasan perindustrian Hicom, seksyen 26, Shah Alam dan menjalankan perniagaan pemprosesan serta makanan siap saji ini secara besar-besaran.

RASA: Sudah hampir setahun beroperasi, bagaimana pula dengan sambutan daripada para pelanggan?
HAMIDI: Syukur, produk kami terutama sate menjadi pilihan nombor satu di syarikat penerbangan Malaysia. Maklum balas yang diterima daripada laporan bulanan pihak tersebut amat memberangsangkan. Malah kami mendapat tempahan sate setiap hari daripada pihak berkenaan.

Antaranya 500 peket sehingga 3000 peket sehari. Penghantaran dilakukan setiap hari iaitu pada jam 2 petang. Tempoh tahan lama sate ini pula ialah 48 jam dan kesegarannya tetap terjamin.

RASA: Boleh anda terangkan mengenai operasi di kilang ini?
HAMIDI: Kilang ini beroperasi setiap hari dengan tenaga kerja seramai 17 orang. Dua orang daripadanya ditugaskan di outlet kami yang terdapat Cyberjaya untuk menyediakan sate kepada pelanggan. Selebihnya menjalankan tugas-tugas pemprosesan ayam dan daging mentah, produk sejuk beku serta makanan siap saji. Terdapat dua shif iaitu 7 pagi hingga 3 petang dan 3 petang hingga 11 malam. Kami membahagikan production kepada dua bahagian iaitu bahagian pemprosesan dan penyediaan makanan siap saji.

Kedua-dua bahagian ini perlu diasingkan untuk mengekalkan kebersihan produk dan menjamin keselamatan di tempat kerja.

RASA: Selain klien utama anda, adakah produk-produk keluaran syarikat anda ini dipasarkan kepada orang ramai?
HAMIDI: Untuk produk siap saji sepeti sate, kami menggalakkan sesiapa saja sama ada pihak hotel, katering, syarikat, orang perseorangan dan sebagainya untuk membeli. Harga yang dikenakan juga amat berpatutan. Kami juga menyediakan perkhidmatan penghantaran untuk pembelian yang sangat banyak atau lokasi yang jauh dan caj berpatutan akan dikenakan. Kami juga mengalu-alukan pengguna datang sendiri ke kilang kami untuk membuat pembelian produk yang kami sediakan.

Selanjutnya di dalam RASA Jun 2010