Hai semua! Sihat tak hari ni? Semoga kamu sentiasa sihat dan ceria sepanjang masa. Kalau kurang sihat, jangan lupa makan ubat tau. Maklumlah selepas musim raya, ramai pula yang kena penyakit seperti batuk dan selesema. Walaupun seronok berhari raya, kesihatan haruslah menjadi keutamaan. Barulah kamu boleh memberi tumpuan pada pelajaran.

Kepada kamu yang baru melalui peperiksaan UPSR, tentunya berasa lega selepas melalui saat yang mendebarkan itu. Jika kamu sudah berusaha bersungguh-sungguh insyaAllah kejayaan pasti berpihak kepada kamu. Sis Nana ingin berpesan kepada kamu semua supaya mengisi masa yang terluang dengan aktiviti yang berfaedah.

Tentu kamu sudah tahu yang kamu akan meninggalkan alam sekolah rendah selepas ini. Jadi apa kata lakukan sesuatu yang boleh memberi kesan positif untuk guru-guru dan adik-adik kamu yang tinggal. Cuba buat satu projek bersama kawan-kawan seperti gotong-royong, melukis mural atau merancang untuk membuat satu persembahan khas pada akhir tahun ini. Sekurang-kurangnya sebaik sahaja kamu melangkah ke alam sekolah menengah, ada sesuatu yang baik kamu tinggalkan untuk semua. Malah menjadi satu kenangan manis yang pasti akan kamu ingat sampai bila-bila. Kepada yang lain pula, jangan lupa peperiksaaan akhir tahun yang bakal diadakan tidak lama lagi tau. Pastikan kamu membuat persediaan yang cukup supaya tidak menyesal di kemudian hari.

Sebelum mengundur diri, Sis Nana juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada kamu semua. Jaga diri baik-baik dan sayangilah kedua-dua ibu bapa kita.

Senyum Selalu
Sis Nana