 |
Ibu bapa perlu memberi contoh terbaik kepada anak-anak kerana mereka akan membesar mengikut ‘acuan’ yang diasuh oleh ibu bapa mereka. Sekiranya ibu bapa bersikap lewa dalam mendidik, ia memberi kesan mendalam kepada proses pembesaran anak-anak. Sementelah pula jika ada ibu bapa yang bersikap pilih kasih dengan membeza-bezakan kasih sayang terhadap anak-anaknya. Situasi ini boleh membuatkan anak terasa dirinya terpinggir kerana kurang disayangi berbanding adik beradik yang lain.
Mengulas dengan lebih lanjut tentang tajuk rencana Pilih Kasih kali ini, Dara.com berkesempatan menemu bual dua orang pakar untuk membincangkan isu ini iaitu Ustaz Mohd Roslan Mohd Isa iaitu Pengetua Pusat Jagaan dan Bimbingan Baitul Islah dan Profesor Madya Dr Mariani Md Nor dari Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya. Menurut Ustaz Roslan, agama tidak membenarkan ibu bapa membeza-bezakan kasih sayang terhadap anak-anak sebaliknya mereka bertanggungjawab mendidik dan memberi sesuatu kepada setiap anak dengan adil dan sama rata. Ini disebabkan ibu bapa merupakan insan ‘terdekat’ dengan anak-anak.
Namun begitu, hakikatnya ibu bapa lebih mengenali sikap anak-anak mereka sendiri. Bagi anak yang mendengar kata, mempunyai akhlak yang baik pastinya akan disayangi oleh keluarga berbanding dengan anak yang sering membuatkan ibu bapanya susah hati. “Oleh sebab itu ibu bapa berperanan untuk memastikan anak-anak tidak berasa tersisih. Jangan jadikan kelebihan atau kekurangan anak-anak sebagai ukuran. Ibu bapa perlu bersikap terbuka dan tidak pilih kasih. Ada anak yang pandai tetapi malas, malah ada anak yang suka menentang kata, tetapi rajin buat kerja rumah. Oleh itu ibu bapa perlu menggunakan pendekatan yang lebih bijak seperti memberi nasihat dan kata-kata dorongan terutama bagi anak yang ada kekurangan. Daripada situ anak-anak akan belajar daripada kesilapan dan mula berubah menjadi ke arah yang lebih baik,” katanya.
Mencari kebebasan di luar
Tambah beliau lagi, anak-anak yang menjadi mangsa perbezaan kasih sayang ini biasanya berasa kehilangan tempat berpaut, tempat perlindungan dan rasa tidak diperlukan lagi dalam sesebuah keluarga. Mereka sentiasa memendam rasa dan sering bersendirian dan akhirnya timbul rasa bosan dalam diri. Maka, mereka cuba mencari kebebasan di luar dengan cara berhibur bersama kawan-kawan atau bebas bersosial kerana merasakan ‘orang luar’ lebih menghargai mereka.
“Bagi anak yang meningkat remaja mereka terlalu sensitif dan mempunyai sifat ingin membebaskan diri sekiranya menghadapi tekanan. Apabila mereka merasakan diri tersisih, mereka cepat membuat pentafsiran yang mereka tidak diperlukan dan dihargai oleh ibu bapa. Lantaran itu terdapat kecenderungan untuk si anak mengambil tindakan keluar dari rumah tanpa pengetahuan ibu bapa atau meninggalkan keluarga untuk mencari kehidupan lain yang dirasakan dapat memberikan ketenangan kepada jiwanya.”
“Kehidupan di luar kawalan ibu bapa terutama bagi anak gadis memang merisaukan kerana ditakuti akan membawa kepada ‘penyelewengan’ yang lebih teruk. Jika tidak ditangani dengan sebaik-baiknya kemungkinan mereka akan terjebak ke dalam gejala-gejala buruk seperti menghisap dadah, meminum arak, maksiat, dan lain-lain perbuatan salah laku hingga ke peringkat jenayah,” jelasnya lagi.
|