|

Rimbun pepohon yang menghiasi laman indah milik Amin Buhari Md Zin dan Basrulnizam Baharuddin begitu menyegarkan pandangan. Di sebelah kanan penjuru pagar, hidup subur pelbagai pohonan rendang yang mencantikkan panorama. Mata penulis liar memandang, hati mula terdetik, beruntungnya badan miliki kediaman seindah ini. Loceng ditekan beberapa kali, dan kami menanti penuh sabar. Tidak lama kemudian, pemilik kediaman indah yang terletak di Puncak Perdana Shah Alam ini muncul di muka pintu.
Kehadiran kami pagi itu disambut mesra oleh tuan rumah, Basrulnizam Baharuddin. Senyuman manis yang terukir di bibir wanita yang berasal dari negeri adat Perpatih ini membuatkan kami tidak sabar untuk menyelongkar rahsia kebahagiaan rumah tangganya. Malah, raut wajahnya yang bersih memberikan ketenangan pada mata yang memandang. Sementara suaminya, Amin Buhari Md Zin, 45 tahun, memang sedia menanti lalu menjemput kami ke ruang utama untuk sesi interview.
Namun melihatkan kedamaian pagi yang indah dan masa yang begitu terhad, penulis mencadangkan agar pertemuan ini dimulakan dengan sesi fotografi terlebih dahulu. Tambahan pula, beliau perlu bergegas ke Port Dickson atas urusan kerja. Beliau tidak menolak lantas mempersilakan penulis ke halaman. Sempat juga melihat taman mini yang terletak di sebelah kanan tepi rumahnya. Melihatkan rimbunan pokok markisa yang berbuah lebat dan deretan bunga orkid yang sedang mekar indah, kami andaikan pasangan bahagia ini juga gemar berkebun. “Maaf, saya hanya menyokong minat isteri yang gemar berkebun. Selebihnya kak Zam yang uruskan semua. Bahkan segala urusan rumah, saya memberi sepenuh kepercayaan padanya. Maklumlah, saya kerap bekerja di luar daerah,”jelas Amin Buhari, yang bertugas sebagai Vice President 1 (VP 1) di Head Upstream Project, Sime Darby Plantation.
Berputiknya Bibit Kasih
Bersama Kak Zam, saya utarakan persoalan dan isu seputar dunianya bersama anak-anak. Bagaimana beliau dan suami mencipta bahagia, membentuk kehidupan, kekuatan jiwa, personaliti dan merencana masa depan lima cahaya mata kesayangan mereka. Pertemuan mereka bermula ketika kak Zam tinggal bersama sepupunya di Kuala Lumpur. Sementara suaminya pula di Universiti Teknologi Malaysia, Jalan Gurney kerana melanjutkan pelajaran. Setahun perkenalan telah memutikkan bibit cinta antara keduanya. Walaupun perkenalan mereka ini terlalu singkat, namun demi ikatan yang suci dan direstui, mereka mengambil keputusan untuk bernikah.
Ikuti kisah selanjutnya di dalam Majalah i edisi Sept 2010 |