Terima kasih
Bulan September adalah bulan yang istimewa buat kami team IMPIANA kerana September tahun ini genaplah 11 tahun usia IMPIANA di pasaran. Saya dan team IMPIANA mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada anda semua yang tidak putusputus memberikan sokongan kepada kami, sekali gus mengekalkan IMPIANA sebagai Majalah Interior No. 1 Malaysia.
Biarpun dari hari ke hari persaingan dan cabaran yang perlu hadapi semakin sengit, tetapi dengan adanya sokongan daripada anda semua jugalah, ia menjadi pembakar semangat kami bagi terus mempersembahkan hanya yang terbaik untuk tatapan anda. Lagipun seiring dengan moto IMPIANA, Praktikal Bergaya, kami sentiasa cuba menjadikan IMPIANA sebagai inspirasi dan rujukan buat anda menata kediaman agar terlihat cantik, praktikal, bergaya dan semestinya memberikan keselesaan.
Bersempena dengan Edisi Ulang Tahun ke - 11 ini juga IMPIANA menawarkan pelbagai hadiah menarik yang boleh anda menangi daripada peraduan yang disediakan. Jika ingin ke terus ke halaman tersebut, anda boleh sahaja ke halaman 88. Bagaimanapun saya menyarankan anda terus sahaja membaca apa yang kami sajikan di keluaran ini halaman demi halaman kerana semuanya begitu mengujakan dan berbaloi untuk anda berbuat begitu.
Saya juga ingin merakamkan terima kasih kepada anda yang telah mengambil bahagian dalam pertandingan Jom Ubah Sekarang yang IMPIANA jayakan bersama Master Home bermula Februari hingga Julai lalu. Tahniah saya ucapkan kepada pemenangnya dan kepada yang tidak berjaya, jangan berputus asa kerana IMPIANA akan terus usahakan untuk mengadakan pertandingan sebegini di masa akan datang. Mana tahu, tiba masanya nanti, giliran anda pula bergelar pemenang!
Sementara itu, jika anda merasakan kediaman anda sekarang cantik, selesa, memikat serta mempunyai konsep tersendiri, dan anda ingin berkongsi idea penataan kediaman anda tersebut dengan pembaca IMPIANA yang lain, Anugerah Prestij Idea Dekorasi IMPIANA adalah salah satu langkah praktikal yang boleh anda cuba. Sampai jumpa lagi di keluaran akan datang, senyum-senyum selalu, hati mesti baik serta jangan lupa pastikan kediaman anda sentiasa kemas, bersih dan selesa.
Jangan lupa ke http://www.facebook.com/impiana untuk ketahui perkembangan terkini tentang IMPIANA
Cik Li
Editor
rosli.ahmad@karangkraf.com.my
|