
jatuh sakit
Sebenarnya agak sukar untuk saya bercerita tetapi semakin lama dipendam, ia membuatkan hati saya semakin sakit. Semuanya bila mengenangkan perbuatan suami mengkhianati perkahwinan kami. Sikapnya yang romantis dan penuh kasih sayang membuatkan saya tidak terfikir bahawa suatu ketika nanti, saya akan diduakan sebegini. Rahsianya mula terbongkar apabila satu hari suami jatuh sakit yang tidak diketahui punca. Saya menghantar suami ke hospital namun pemeriksaan doktor mengesahkan suami tidak mempunyai apa-apa penyakit. Dalam pada itu, saya mendapat berita suami sudah bernikah lagi di sempadan. Bila saja ajukan pertanyaan, dia mengakuinya. Hancur luluh hati saya mendengar kenyataannya.
Rasa diri ini sangat hina sedangkan sebelum ini dia suami yang sangat saya sanjung kerana sifat-sifat penyayang dan ambil beratnya meski pun kami sudah lama berkahwin. Saya tidak percaya mengapa suami sanggup menipu saya sedangkan pendapatannya untuk berkahwin dua sangat jauh, bagai langit
dan bumi. 90 peratus urusan perbelanjaan rumah tangga jatuh ke bahu saya namun sedikit pun saya tidak pernah mengungkit, asalkan rumah tangga saya aman dan sentosa. Saya Cuma mengharapkan suami melayan saya dengan penuh rasa cinta tapi bila dikhianati, saya betul-betul terhina. Bila rahsia terbongkar, saya buntu. Adik-adik ramai yang meminta saya bawa suami berubat kerana sikapnya tidak begitu. Malah cadangan itu juga datang dari seorang ustaz yang datang melihat keadaannya.
Dari segi pengubatan tradisional, suami dikatakan sudah terkena ilmu sihir dari perempuan tersebut. Malah dia memuntahkan banyak barang-barang kotor semasa berubat. Segala tindak-tanduk suami semuanya mengikut arahan dari perbuatan sihir tersebut. Setelah pulih, di hadapan keluarga, suami telah melafazkan talak ke atas perempuan tersebut. Bila hal ini diajukan kepada wanita tersebut bersaksikan saya dan keluarga, dia mengakui sudah menjalin hubungan selama dua tahun bersama suami malah dengan rasa bangga bercerita pada jiran sekeliling bahawa mereka pernah berzina. Saya tertanyatanya, benarkah suami telah disihir atau memang begitu sikapnya? Benarkah dia langsung tidak
punya perasaan terhadap wanita tersebut dan bagaimana dengan dakwaan wanita itu mereka telah menjalin hubungan sebelum ini?
Hingga kini, kami kerap bergaduh dan bertekak. Suami menuduh saya sentiasa mahu mengungkit kisah lalu dan apa yang paling saya takuti, kalau dahulu, tangannya sentiasa membelai manja pipi saya, tetapi kini saya pernah menerima penampar darinya. Setiap kali kami bertengkar dan bergaduh, suara suami akan meninggi sedangkan sebelum ini tidak begitu. Suami mengambil tindakan untuk keluar rumah setiap kali kami bergaduh. Saya bertambah seksa. Saya bertanya kepada suami saya, jika masih sayangkan saya mengapa meninggi suara, mengapa mengherdik dan sebagainya. Entahlah, kadangkala saya terasa seperti diperbodohkan dan seperti orang bodoh.
Adakah perpisahan jalan terbaik bagi kami? Kenapa Allah mentakdirkan hubungan kami begini sedangkan sebelum ini kami penuh dengan kasih sayang? Benarkah suami saya terkena ilmu sihir? Betulkah suami tidak punya hati langsung pada perempuan tersebut? Apa yang membuatkan jiwa saya lebih tertekan, perempuan itu telah memburukburukkan diri saya termasuk mengatakan suami yang memberitahu semua itu kepadanya. Apalah dosa saya mendapat suami yang sekejam ini? Apa yang harus saya lakukan bagi merawat hati yang benar-benar terluka ini? Sekali pun saya merawat diri dengan mendekatkan diri kepada Allah dan membaca artikelartikel berkaitan, namun lukanya masih parah. Bantulah saya.
Selanjutnya di dalam majalah MINGGUAN WANITA minggu ini.
