Dengan gaya ringkas bertudung bawal, Datin Norjuma Habib Mohamed,32, punya aura tersendiri sehingga Berjaya menambat hati ramai dan menjadikan program yang diacarakan mendapat sambutan hangat. Bagaimanapun isteri kepada Datuk Nazim Tun Razak ini sudah lama melupakan dunia glamor sebaliknya menumpukan perhatian kepada keluarga dan bisnes tudung bawalnya.
Kini beliau bahagia dengan kehidupannya sebagai seorang isteri dan ibu kepada tiga anak lelaki yang sedang membesar. Mendengar cerita mengenai keletah tiga anaknya, terpancar cahaya kebahagiaan di wajahnya. Wanita yang peramah dan suka bercerita ini benarbenar bahagia dengan kehidupannya dan tiada kesalan di riak wajahnya tatkala terpaksa melepaskan kerjayanya sebagai seorang wartawan penyiaran apabila dilamar Datuk Nazim.
Memulakan kerjayanya setelah bergelar juara pertandingan Pengacara Jemputan Nona Musim Kelima pada tahun 2002, Norjuma mula dikenali ramai dan penampilan ringkasnya membuatkan setiap mata tidak puas menatap wajahnya setiap kali muncul di kaca televisyen. Walaupun sudah lama meninggalkan kerjaya berkenaan, nama Norjuma tetap menjadi sebutan ramai berikutan penampilan bertudungnya. Gaya beliau tetap seperti dahulu, manis dan sopan dengan tudung bawal.
Menurut Norjuma suami dan anak-anak adalah segala galanya dan beliau bahagia dikurniakan sebuah keluarga yang harmoni dan dilimpahi kasih sayang. Mereka juga adalah kekuatan untuk terus menjadi dirinya sendiri.
...................................................................
Dikelilingi empat lelaki membuatkan dirinya rasa bagaikan puteri, dihargai dan disayangi. Suami dan anak-anak adalah syurganya dan melahirkan rasa syukur dikurniakan sebuah kehidupan yang bahagia dan lengkap. Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan kebahagiaannya itu, cukup terpamer di wajah cerianya yang polos tanpa solekan.
Tidak dinafi kan dunia penyiaran adalah sebahagian daripada kehidupan masa lalunya dan adalah kerjaya yang diminatinya, namun kehidupan glamor itu terpaksa dilupakan atas permintaan suami. Walaupun merindui saatsaat manis berkenaan, namun keluarga lebih utama dan adalah segala-galanya.
“Suami dan anak sulung tidak suka lihat saya muncul di televisyen. Mereka seolah-olah tidak mahu saya menjadi bahan tatapan orang lain. Tidak mahu saya dikongsi dengan orang lain. Mereka seolah-olah cemburu saya dilihat dan ditatap orang lain,” jelasnya yang mesra dengan panggilan Juma.
Setelah mendirikan mahligai bersama Datuk Nazim pada tahun 2005, Norjuma semakin matang dan tahu apa yang diingini dan hala tuju kehidupannya. Kematangan suaminya juga membuatkan beliau banyak belajar mengenai hidup.
Beliau juga banyak belajar daripada ibu mentuanya, Toh Puan Rahah yang banyak membantu dan menyokongnya dalam setiap apa yang dilakukan. Walaupun tinggal sebumbung bersama ibu mentua Norjuma rasa selesa kerana mentuanya seorang yang memahami dan tidak mengongkong kehidupannya. Malahan dia bersyukur kerana mentuanya banyak membimbing untuk menjadi isteri dan ibu yang baik. “Ibu mentua memang memahami.
Tidak pernah mengongkong kehidupan dan saya bebas buat apa yang saya suka. Tetapi itu tidak bermakna saya boleh buat sesuka hati, saya tetap menghormatinya. Seronok tinggal dengan beliau kerana tidak pernah masuk campur dalam urusan rumah tangga saya,” kata lulusan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ini.
...................................................................
CINTANYA KEPADA BAWAL
Cintanya kepada tudung bawal tidak pernah padam walau pelbagai gaya tudung muncul dan menguasai trend bertudung. Yakin bawal masih ada peminat tersendiri membuatkan beliau membawa kemunculan semula bawal dalam dunia fesyen bertudung dengan melakukan sedikit perubahan pada warna dan rekaan menarik. Bagi Juma sudah tiba masanya bawal kembali menceriakan dunia fesyen bertudung Muslimah hari ini. Tepat pada masanya kerana fesyen tudung lain sudah terlalu lama berada dalam pasaran dan sudah tiada penggayaan yang baru.
Berikutan itu, beliau ingin mengembalikan kegemilangan tudung bawal di pasaran kerana yakin fesyen adalah kebebasan dan tiada batasan. Berkonsepkan kedai bergerak (mobile concept stall) beliau memulakan bisnes tudung bawal pada September 2010 dengan menjadikan pelajar universiti sebagai sasaran.
Mahasiswa boleh menjadi ‘trend setter’ kerana mereka adalah golongan yang sentiasa mengikuti perkembangan dunia fesyen. Selain itu, harga tudung bawal yang murah juga mempengaruhi kuasa beli mereka dan dengan RM50 mereka mampu memiliki dua hingga tiga helai tudung dan ini sangat berbaloi.
Bagi Juma tudung juga seperti peredaran ekonomi, ada masa turun naiknya. Tidak pernah kekal pada kedudukannya sebaliknya mampu bertahan jika disokong dengan kuat dan mengalami pelbagai perubahan yang menepati selera dan cita rasa semasa.
Kelahiran jenama Aidijuma diharap mampu mengembalikan kegemilangan tudung bawal di pasaran dan seterusnya menyokong industry perniagaan tudung wanita Kelantan dan Terengganu yang sinonim dengan bawal.
Selanjutnya dapatkan Majalah NUR JUN 2012 di pasaran sekarang!
|