Melalui penjenamaan semula itu, sebanyak 62 buah sekolah menengah teknik di seluruh negara dicadangkan ditukar kepada sekolah menengah vokasional.
Pendahuluan
Langkah memperkasakan pendidikan vokasional kini semakin mendapat perhatian pihak kerajaan. Baru-baru ini, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia telah menguaruarkan bahawa pendidikan vokasional akan dijenamakan semula bagi melahirkan lebih banyak tenaga kerja berkemahiran dan berpendapatan tinggi. Bahagian Pendidikan Vokasional dan Teknik kementerian telah menyiapkan kajian mengenainya dan akan dibentangkan pada mesyuarat pasca Kabinet Kementerian Pelajaran yang akan datang. Tegasnya, usaha memperkasakan dan memantapkan sekolah vokasional dalam sistem persekolahan penting untuk Malaysia memenuhi permintaan industri pada masa depan selaras dengan matlamat menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi, sekali gus memastikan pelajar memiliki kemahiran pekerjaan, keusahawanan, dan jati diri yang tinggi.
Melalui penjenamaan semula itu, sebanyak 62 buah sekolah menengah teknik di seluruh negara dicadangkan ditukar kepada sekolah menengah vokasional. Kerajaan hanya akan mengekalkan 26 buah sekolah menengah teknik di seluruh negara. Di bawah penjenamaan itu, sebanyak 70 peratus daripada sistem pengajian akan bertumpu pada bidang kemahiran vokasional, manakala hanya 30 peratus bidang akademik. Hal ini berbeza daripada amalan sekarang, iaitu 45 peratus pengajian bertumpu pada kemahiran vokasional manakala 55 peratus lagi adalah akademik. Kementerian juga akan memperkenalkan sistem latihan sambil kerja (OJT) untuk pelajar vokasional dengan kerjasama pihak industri atau syarikat sebagai salah satu subjek wajib apabila penstrukturan semula sekolah vokasional dilaksanakan tidak lama lagi. Latihan itu akan dilaksanakan sepanjang sesi persekolahan sebagai sebahagian usaha mengukuhkan sistem pendidikan vokasional. Kementerian sedang berusaha mendapatkan pihak industri bagi menjalinkan kerjasama tersebut kerana kita tidak mahu pelajar aliran ini hanya tertumpu dalam bilik darjah.
Penstrukturan
Kementerian Pelajaran menyasarkan penyertaan pelajar yang mengikuti pendidikan Vokasional-Teknikal atau voctech meningkat 20 peratus menjelang 2015 berbanding 10 peratus buat masa ini dengan pelbagai usaha untuk meningkatkan penyertaan pelajar dalam bidang itu telah dirancang. Pengambilan dilaksanakan secara berperingkatperingkat dan bagi memenuhi keperluan itu, kementerian menambah tiga lagi Sekolah Menengah Vokasional (SMV) yang baharu dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan jumlah itu akan ditambah dalam RMK-10. Program pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TEVT) diperkasakan menerusi empat strategi utama iaitu membangunkan tenaga pengajar secara efektif, memperkasakan kurikulum, meningkatkan pengajaran selaras keperluan industri dan memperkemaskan penyampaiannya. Pembinaan sekolah-sekolah itu dijangka dapat memberikan peluang kepada sekurang-kurangnya kepada 4,000 pelajar yang berminat mengikuti pendidikan dalam aliran berkenaan.Kementerian Pelajaran menyatakan langkah-langkah yang telah diambil untuk menarik lebih banyak pelajar mengikuti pelajaran aliran vokasional supaya setanding dengan Eropah yang mampu menarik 50 peratus pelajarnya mengikuti aliran itu. Pihak kementerian juga akan menstrukturkan semula Sekolah Menengah Teknik (SMT) kepada Sekolah Menengah Vokasional dalam tiga fasa dengan memberi fokus kepada program vokasional dan kemahiran. Dengan kata lain, pihak kementerian sedang berusaha untuk menambah baik mata pelajaran vokasional di sekolah menengah harian supaya setaraf dengan SMV bagi membolehkan sekolah itu turut diiktiraf oleh pihak industri dan badan profesional.
Mengupas dengan lebih lanjut tentang Memperkasakan Pendidikan Vokasional dalam E@Siswa Sept ini.
|