SALAM PERKENALAN
Seenak Rasa
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Ini adalah coretan pertama saya di dalam majalah kesayangan dan kebanggaan pembaca setia RASA. Semestinya saya mahu menghulurkan salam perkenalan terlebih dahulu sebelum menyambung kata-kata. Saya mengharapkan sokongan anda semua sebagaimana yang telah anda berikan kepada majalah ini selama ini.
Sekiranya tidak dipertanggungjawabkan mengendalikan majalah ini sekalipun, saya sememangnya pembaca majalah RASA. Malah, keluarga saya juga menyukai majalah ini. Kami menyimpan majalah ini sebagai koleksi dan sering juga dijadikan rujukan apabila berkumpul bersama keluarga. Maklumlah, bila dah berkumpul tu, memasak sudah pasti menjadi aktiviti utama. Kadang-kadang hairan juga, tak habis-habis memasak. Belum pun habis sarapan, dah fikir nak makan apa tengah hari dan petang. Bila dah kebuntuan idea, majalah inilah yang dibelek. Seronok juga mencuba resipi-resipi baru bersama-sama. Bagi edisi Julai 2008 ini, RASA menyelongkar pelbagai resipi dari negeri-negeri di utara tanah air. Begitulah menariknya negara kita. Setiap negeri memiliki identiti makanan tersendiri. Perlis, Pulau Pinang, Kedah dan Perak tidak kurang hebatnya menyimpan ‘khazanah’ masakan yang enak dan unik. Paling istimewa, RASA dapat mengumpulkan masakan tradisi negeri-negeri di utara ini yang jarang-jarang didengar ataupun ditemui.
Gulai umbut kelapa ayam kampung, gulai batang pisang, kerabu pucuk mengkudu, kuih qasidah dan lepat liat sangat jarang ditemui dalam menu harian kita. Sesekali mencuba sendiri masakan kampung ini pasti memberi kelainan dan membuka selera. Meneliti satu persatu resipi yang ada di dalam edisi ini, terutama masakan tradisi banyak membangkitkan nostalgia saya. Terkenang air tangan emak dan arwah nenek. Saya berharap RASA Julai 2008 ini menjadi satu lagi koleksi berharga kepada pembaca setia majalah ini. Semoga himpunan resipi yang dikongsi ini menambahkan lagi pengetahuan dan kemahiran memasak anda. Selamat mencuba. Jumpa lagi bulan hadapan.
Salam Secangkir Kata,
Teh Rohaya Yusoh
teh.rohaya@karangkraf.com.my