Ramai yang melazimi budaya berbanding ajaran agama yang sebenar semasa hari raya Aidilfitri.

Aidilfitri sering mendapat persepsi sebagai hari untuk mengeratkan silaturrahim dengan aktiviti kunjung mengunjung dan maaf bermaafan. Adapun individu yang yang menganggapnya ia sebagai hari untuk mengingati ahli keluarga yang sudah tiada lagi dan tidak melupakan insan yang kurang bernasib baik.

Sebenarnya semua yang disebutkan tadi tiada salahnya dalam Islam. Namun, di manakah titik permulaan atau lebih jelas lagi dikatakan keutamaan dalam menyambut hari raya Aidilfitri ini agar kita sebagai muslim tahu yang mana harus dipentingkan dan didahulukan?

Ilmuan Shariah dan tokoh perbankan Islam, Ustaz Dr. Zaharuddin Abdul Rahman mengupas hal ini semasa pertemuan dengan wartawan Majalah i di pejabatnya yang bertempat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Beliau memberikan garis panduan dan tatacara yang betul menyambut hari raya Aidilfitri mengikut ajaran Nabi S.A.W

Menurut beliau, terdapat beberapa perkara yang harus diutamakan semasa Aidilfitri. Pertamanya, kita seharusnya memastikan apa yang dilakukan semasa Ramadan diteruskan semasa bulan Syawal dan bulan-bulan seterusnya. Hal ini penting kerana penerusan ini merupakan salash satu indikator aspek taqwa dan keampunan telah berjaya diresapkan ke dalam jiwa.

Selain itu, momentum keinginan untuk melakukan ibadah semasa Ramadan perlu juga dijaga dengan berterusan memperbanyakkan istighfar, memohon keampunan dan berpuasa sunat syawal khususnya.

Bulan Ramadan sinonim dengan semangat untuk melakukan ibadah dan ketaatan kepada Allah lebih daripada biasa. Menurut Dr Zaharuddin, aktiviti bangun malam untuk solat tahajjud, melazimi solat witir, dan kemampuan mengekang perkara yang haram yang dicetuskan oleh mulut, dorongan nafsu seksual tidak terkawal serta menahan kemarahan tidak bertempat yang dituntut untuk dilakukan di bulan Ramadhan mestilah diusahakan sedaya upaya untuk diteruskan pada bulan-bulan yang lain.

“Banyak perkara yang dilakukan semasa Ramadan itu kita boleh teruskan semasa hari lain di bulan yang lain. Kalau di bulan Ramadhan kita diarah untuk tidak bersama dengan isteri dan suami di siang hari. Semasa bulan mulia ini, perkara yang asalnya halal itu tetap dikekang bagi menambah kemampuan kita mengendalikan nafsu seksual di bulan-bulan lain, agar jauh dari zina, khalwat dan lainnya seperti menjaga mata dari melihat yang haram. Semua ini mestilah dikekalkan momentumnya”

“Seterusnya, kembalilah kita kepada fitrah. Sekiranya ada apa-apa bentuk kepincangan dalam ibadah, kita mesti berusaha memulihkannya. Misalnya solat lima waktu yang tidak dipenuhi, kita perkemaskan aspek zahir dan batinnya, begitu juga ibadah khusus yang lain”.

“Dari sudut kewangan, masyarakat Islam juga harus memastikan sambutan Aidilfitri dilakukan dengan sederhana dan bukannya melampau sehingga mengakibatkan kita terpaksa meminjam sama ada dari kad kredit, bank atau individu. Ada golongan yang terpengaruh dengan tawaran kad kredit sehingga berbelanja di luar kemampuan. Berhati-hatilah kerana penggunaan kad kredit yang tidak halal harus dihentikan serta merta. Di musim perayaan ini juga ada yang suka menunjuk-nunjuk kekayaan yang mereka miliki di hadapan adik-beradik atau saudara mara yang lain,” ujarnya.

Selain itu, umat Islam harus mengelakkan pembaziran semasa membuat persiapan hari raya. Bukan hanya terhad kepada pembaziran makanan, malah dalam membeli apa sahaj barangan yang tidak begitu kerap akan dimanfaatkan oleh mereka, mungkin hanya sekadar untuk menunjuk kecantikan rumah di Aidilfitri. Hal ini hanya mengundang perkara yang lebih buruk kepada seseorang itu sekiranya melakukan pembaziran dalam perbelanjaan.

Menurut pensyarah ini juga, sewaktu menyambut hari raya, kaedah sambutan yang bertepatan dengan ajaran Rasulullah s.a.w. Janganlah sesekali kita membuat perkara-perkara baru yang kononnya dapat meningkatkan pahala. Sebagaimana disebutkan dalam hadis sohih Muslim berkenaan Telaga Kauthar yang dianugerahkan kepada nabi di akhirat kelak, namun tidak dapat dinikmati oleh sebahagian umat Muhammad disebabkan mereka mengada-ngadakan sesuatu yang baru selepas ketiadaan Nabi.

Sambutan di Malaysia
Dr Zaharuddin melihat sambutan Aidilfitri di negara ini agak banyak juga terpegaruh kepada bentuk budaya yang telah diakar umbi di kalangan orang kita. Banyak amalan yang dilakukan pada hari raya itu sebenarnya lebih berbentuk budaya berbanding tuntutan agama. Dan terdapat juga amalan agama yang sudah terpesong dari ajaran yang sebenarnya.

“Ada yang menganggap berziarah, dan meminta maaf itu sebagai amalan semasa hari raya. Sedangkan yang sebenarnya adalah lebih baik meminta maaf semasa bulan Ramadan. Begitu juga dengan amalan memberi duit raya pada hari raya. Sebenarnya memberi sedekah adalah lebih baik pada bulan Ramadan kerana pahala bersedekah semasa bulan Ramadan itu sangat besar. Jadi, adalah rugi apabila ruang dan peluang itu ditinggalkan.

“Satu lagi perkara yang harus diubah adalah berkenaan puasa enam di bulan Syawal. Sesungguhnya puasa ini adalah untuk Allah. Tetapi ramai di kalangan kita yang suka bersembang mengenai puasa enam. Sebenarnya, bilangan puasa sunat kita jangan diwarwarkan dan diberitahu kepada orang. Jadi hilang pahalanya bila kita beritahu orang lain. Puasa ini hanya untuk Allah.

“Begitu juga dengan aurat. Apabila kita sudah berkumpul satu keluarga yang besar, pastikan aurat dijaga di kalangan ipar duai dan di kalangan bukan mahram. Begitu juga dengan hal bersalaman atau berjabat tangan dan bersentuhan. Ada yang berkecil hati apabila pihak lagi satu tidak mahu bersalaman. Inilah akibat apabila tidak belajar ilmu,” terangnya.

Paling penting sekali menurut Dr Zaharuddin, garis panduan atau tatacara menyambut hari raya Aidilfitri haruslah mengikut dan merujuk kepada nabi Muhammad s.a.w. Ringkasnya adalah;
1) Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat idil fitri .
2) Menjamah makanan sebelum keluar. Ia berdasarkan hadith dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut : “Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya idil fitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma...”
3) Memperbanyakkan Takbir dan bukan memperbanyakkan menonton TV dan bermain mercun ; Seharusnya umat Islam jangan terlalu di sibukkan dengan aktiviti persiapan raya sehingga meninggalkan peluang takbir ini. Ini adalah penting bagi syiar Islam selain kalimah Takbir yang dibenci oleh Syaitan. Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Idul Fitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.
4) Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain.
5) Memakai pakaian terbaik yang ada ;Walaupun demikian, perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan. Tidak dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan mahal (kecuali pakaian seksi dan tidak menutup aurat memang di haramkan di dalam Islam).
6) Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi) ;Ia berdasarkan hadith dari Jabir r.a yang menyebut bahawa Nabi SAW biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya” (Riwayat Al-Bukhari).
7) Berziarah dan merapatkan hubungan baik sesama Muslim sempena musim cuti yang diperolehi.

“Semua ini adalah garis panduan yang betul mengikut ajaran nabi s.a..w. Contoh lain adalah seperti mengucapkan tahniah, semoga Allah memakbulkan ketaatan semasa bulan Ramadan. Selain itu, kewajipan membayar zakat fitrah sebelum solat sunat Aidilfitri. Kita juga boleh bergembira dengan mendengar nasyid.

“Di samping itu, lelaki dan wanita digalakkan menunaikan solat di tempat yang lapang. Kita di Malaysia sudah kebiasaan solat hari raya di masjid. Mungkin kita boleh praktikkan hal ini. Jadi ia nampak perbezaan dengan solat Jumaat. Dalam hal ini, wanita yang uzur juga boleh hadir turut sama mendengar khutbah di kawasan yang lapang tersebut,” ujar Dr Zaharuddin.

Ustaz Zaharuddin berharap kesedaran di kalangan umat Islam semakin meningkat berkenaan garis panduan yang sebenar dalam menyambut kehadiran Aidilfitri.