SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mensasarkan seramai 11,000 orang dijangka menghadiri  Majlis Rumah Terbuka Sempena Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Selangor Tahun 2018 pada 24 Februari ini.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin juga dijangka berkenan untuk mencemar duli bagi menyempurnakan majlis berkenaan.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Datuk Teng Chang Khim berkata, majlis yang akan diadakan di Dataran Petaling Jaya itu dijangka turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Bagi memudahkan orang awam, perkhidmatan bas percuma PJ City Bus turut disediakan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dari stesen terpilih ke lokasi majlis.

"Kita juga turut menyediakan sebanyak 5745 tempat meletak kenderaan kepada semua pengunjung majlis," katanya pada satu sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

"Semua lapisan masyarakat dijemput beramai-ramai hadir untuk memeriahkan lagi majlis sambutan pada tahun ini," katanya.