KUALA LUMPUR – DAP mempersoalkan tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said tidak mengadakan perbincangan dengan Ahli Parlimen pembangkang dalam urusan menggubal akta menangani berita palsu.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, Azalina  telah bertemu dengan wakil penyedia platform media sosial seperti Asia Internet Coalition, Google, Facebook, Youtube dan Twitter bagi mendapatkan lebih banyak input sebelum draf undang-undang berita palsu dimuktamadkan namun mengasingkan pembangkang.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, tindakan Azalina itu jelas membuktikan bahawa kerajaan bersikap insklusif dalam pembentukan polisi dan undang-undang.

“Jika begitu kenapa Azalina tidak menepati kata-katanya bahawa rang undang-undang berita palsu akan digubal oleh jawatankuasa khas yang melibatkan Ahli Parlimen daripada kedua-dua belah  pihak,” katanya ketika sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari memberi amaran kepada media asing supaya tidak menyiarkan berita palsu mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurutnya, pihaknya percaya penyebaran berita palsu itu dibuat bagi menjatuhkan kredibiliti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tambah beliau, kerajaan sedang berusaha untuk menangani gejala fitnah dan berita palsu dalam negara, sebaliknya beberapa isu pula disemarakkan oleh sumber-sumber dari luar negara,” katanya.

Jailani berkata, penyebaran berita-berita palsu berkaitan 1MDB ini dikesan berlaku sejak minggu lalu.