JELI - Seorang pelajar Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Lubuk Bongor di sini maut selepas motosikal dibonceng bersama ibunya terbabas di Jalan Jeli- Dabong, Kampung Belahat di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan, Mohd Yusoff Jaafar berkata, dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa Muhamad Aidil Zulkifli yang membonceng motosikal bersama ibunya, Zurita Ab Kadir, 42, difahamkan dalam perjalanan dari Lubuk Bongor ke Jeli.

"Bagaimanapun ketika tiba di tempat kejadian, motosikal hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan menyebabkan mangsa jatuh dan terseret.

"Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala maut di tempat kejadian," katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.

Mohd Yusoff berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jeli untuk bedah siasat.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Mohd Yusoff berkata, sementara itu, Zurita yang juga pengawal keselamatan di Hospital Jeli cedera parah dan tidak sedarkan diri dan sedang dirawat di hospital berkenaan.