ALOR SETAR – Ramai majikan di Kedah masih gagal memastikan tahap Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) memuaskan di tempat kerja.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri, Hazlina Yon berkata, masalah itu mungkin berpunca daripada sikap majikan yang hanya mengejar keuntungan sekali gus berlaku pengabaian dari aspek keselamatan pekerja di premis mereka.

“Saya lihat kebanyakan majikan sangat pentingkan kualiti produk dengan berusaha mendapatkan sijil halal, namun ambil sikap mudah hal-hal berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Sebenarnya ini penting kerana jika ada pekerja cedera, meninggal dunia atau jatuh sakit, itu merugikan  syarikat,” katanya pada Program Seminar dan Dialog bersama Majikan 2018 di Pejabat JKKP negeri di sini, hari ini.

Kira-kira 30 majikan daripada pelbagai sektor pembuatan dan perkhidmatan hadir pada program anjuran JKKP Kedah itu dalam usaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka berkaitan perkara itu.

Hazlina berkata, statistik tahun lalu menunjukkan, sebanyak 366 kes kemalangan di tempat kerja direkodkan dan membabitkan 11 kes kematian, hilang upaya kekal (26 kes), kejadian berbahaya seperti kebakaran dan bangunan runtuh (lapan), manakala kemalangan tanpa hilang upaya kekal (321 kes).

Sektor pembinaan penyumbang utama dengan empat kes, diikuti pengilangan dua kes dan masing-masing satu kes bagi sektor perlombongan dan penguraian, pengangkutan/penyimpanan/komunikasi, borong/runcit, perhotelan/restoran dan kewangan/insurans/harta tanah/perkhidmatan perniagaan.

Beliau berkata, manakala bagi pelaporan penyakit pekerjaan, JKKP Kedah menerima 547 kes.

“Selain itu, kita juga membuat pemeriksaan terhadap 15,377 premis dan jentera di tempat kerja dan daripada jumlah itu, 1,903 surat arahan dan 1,679 notis pembaikan dan larangan serta merta dikeluarkan, 52 kesalahan dikenakan kompaun dan 48 kes didakwa di mahkamah,” katanya.

Bagi memastikan majikan mengambil tanggungjawab itu, katanya pemeriksaan secara berkala dilakukan bagi memastikan mereka patuh dengan peraturan termaktub dalam Seksyen 15 (1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“JKKP Kedah juga nak memastikan Pelan Induk KKP 2020 tercapai dengan pengurangan kadar kemalangan di tempat kerja sehingga 2.53 kes bagi 1,000 pekerja, manakala sasaran pengurangan kadar kematian sehingga 4.36 kes bagi 100,000 pekerja,” katanya.

Hazlina berkata, program itu diharap mampu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran majikan dalam aspek pengurusan risiko berkaitan dengan bahaya di tempat kerja serta mengambil langkah sewajarnya bagi mengawal dan menguruskan risiko. - Bernama