SHAH ALAM - Parti Bersatu Selangor dinasihatkan tidak terlalu menonjolkan 'taring' dalam isu pembahagian kerusi memandangkan mereka parti baharu yang menyertai Pakatan Harapan (Harapan).

Naib Pengerusi DAP Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, sebagai sebuah parti baharu mereka perlu mengutamakan prinsip tolak ansur dengan semua parti komponen dalam Harapan.

"Biasalah orang baru memang macam itu, sentiasa mahu tunjuk taring.

"Bagaimanapun saya yakin itu hanyalah permulaan bagi Bersatu, saya yakin lama kelamaan mereka akan terima keputusan pucuk pimpinan yang akan mengambilkira kepentingan semua parti komponen lain dalam pembahagian kerusi," katanya ketika sidang media berkenaan Rumah Terbuka sempena Tahun Baharu Cina yang akan diadakan di Dataran Petaling Jaya pada 24 Febuari depan di pejabatnya, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan pendirian Bersatu Selangor yang tetap mahukan 12 kerusi meskipun mendapat bantahan PKR.

Chang Khim yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) berkata, sudah menjadi kebiasaan bagi mana-mana ahli politik, mereka sentiasa mengakui berpendirian teguh seolah-olah tidak boleh bertolak ansur dengan parti-parti lain.

"Namun begitu, saya percaya akhirnya mereka akan terima keputusan yang dibuat oleh majlis kepimpinan tertinggi berkenaan pembahagian di kerusi-kerusi yang belum selesai," katanya.

Terdahulu, Bersatu Selangor bertegas mahu bertanding di 12 kerusi Dun yang dimenangi Umno pada PRU13 lalu meskipun ia mendapat bantahan daripada PKR.