DUNGUN - Tiga nelayan dari Kampung Sungai Buaya di sini mengalami detik cemas setelah bot pukat jerut yang mereka naiki mengalami masalah enjin sebelum tenggelam kira-kira lima batu nautika dari Kuala Dungun pada kejadian malam semalam.
   
Kejadian berlaku kira-kira pukul 8 malam ketika Kamarudin Muda, 39, Mohamed Noor, 48, dan Mohd Rostam Muda, 42 dalam perjalanan pulang selepas menangkap ikan.
   
Namun salah seorang nelayan itu menyedari bot mereka dimasuki air dan mereka segera menukar haluan menuju ke arah bot-bot nelayan yang berhampiran untuk meminta bantuan sebelum hanya mampu melihat bot bersama hasil tangkapan karam di lautan.
   
Ketua Polis Daerah Dungun Supt Dahlan Mohd Noor berkata ketika menangkap ikan, juragan bot terbabit telah memeriksa bahagian enjin dan menyedari bot yang dikendalikannya itu mengalami masalah.
   
Katanya oleh kerana bot tersebut dilihat semakin tenggelam, mereka terpaksa menukar haluan dan cuba sedaya upaya menunju ke arah bot nelayan lain untuk mendapatkan bantuan.

"Selepas membuat pemeriksaan, mereka dapati air telah memenuhi ruang bot sebelum memaklumkan kejadian itu kepada kedua-dua awaknya agar segera pulang ke daratan.
   
"Bagaimanapun ketiga-tiga nelayan itu berjaya diselamatkan seorang nelayan yang ketika itu sedang mencandat sotong dengan sebuah bot gentian kaca," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
   
Dahlan berkata kesemua mangsa kemudiannya dibawa menaiki bot nelayan terbabit sebelum dihantar ke jeti Kuala Dungun, di sini.
   
Sementara itu pemilik bot berkenaan Azman Mohamad Nor, 44, ketika ditemui berkata, berikutan kejadian itu dia mengalami kerugian lebih RM20,000 selepas botnya mengalami kerosakan.
   
"Semua peralatan menangkap ikan dan alat mengesan ikan GPS bernilai RM5,000 rosak namun saya bersyukur kesemua awak-awak saya selamat," katanya. - Bernama