TOKYO - JEPUN. Mulai tahun hadapan, hanya pengunjung lelaki dibenarkan menjejakan kaki ke sebuah pulau di Jepun selepas diiktiraf sebagai tapak warisan dunia Unesco.

Pulau kecil Okinoshima melarang wanita mengunjungi kawasan itu manakala pengunjung lelaki perlu berbogel untuk melawat tempat yang dianggap suci bagi mereka.

Tahun ini hanya 200 pengunjung dihadkan berkunjung ke kepulauan yang terletak di laut Jepun untuk sambutan festival yang berlangsung hanya dua jam itu, malah mereka perlu mematuhi peraturan yang ketat.

Tokong Munakata Taisha, tempat suci di Okinoshima memutuskan mengharamkan pengunjung ke sana bagi melindungi pulau itu daripada musnah, kata jurucakap kepada AFP.

"Pemeliharaan ketat diperlukan kini selepas ia tersenarai dalam Unesco.

"Ia akan menjadi berisiko jika 200 pengunjung terus dibenarkan datang ke pulau itu," katanya.

Bagaimanapun, ahli akademik akan dibenarkan berkunjung ke pulau itu bagi tujuan penyelidikan dan pemuliharaan.

Pulau yang terletak di pantai barat laut Kyushu terletak paling selatan di empat pulau utama di Jepun, merupakan lokasi penting bagi perdagangan asing di Jepun sejak zaman purba, membentuk sebahagian daripada laluan yang menghubungkan kepulauan itu ke Semenanjung Korea dan China.