ALOR SETAR - Himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang disertai Pas dan Umno di ibu negara, hanya bermotifkan politik semata-mata.

Pengerusi PH Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, himpunan itu cuba menonjolkan kesepakatan dua parti yang menggunakan sentimen keagamaan dan perkauman.

Menurutnya, sekiranya tidak diawasi, dibimbangi boleh mewujudkan keresahan rakyat dan ketegangan kaum.“Alasan digunakan untuk berhimpun adalah tolak ICERD, sedangkan kerajaan sudah putuskan tidak meratifikasikan ICERD. Apabila sudah diumumkan begitu, sudah tidak relevan lagi untuk mana-mana pihak bergabung dan protes untuk perkara yang sudah ditolak kerajaan,” katanya, ketika berucap pada Konvensyen Kepimpinan PH Kedah, di Seri Mentaloon, hari ini.Mukhriz berkata, walaupun isu itu mewujudkan emosi kalangan pihak tertentu, namun pihaknya yakin rakyat memahami ia sekadar isu politik.

“Saya yakin hubungan baik empat parti bawah PH tidak terjejas dengan usaha pihak tertentu cuba memainkan sentimen perkauman dan agama, kita harus pertahankan kedudukan kita,” katanya.Menurutnya, PH tidak pernah abaikan kepentingan mana-mana kaum seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.“Tidak ada sesiapa boleh buat tuduhan konon PH akan hapuskan apa yang termaktub dalam perlembagaan,” katanya.Mukhriz percaya gabungan Umno-Pas kebelakangan ini adalah disebabkan parti itu tertekan dengan isu melibatkan parti masing-masing.“Satu persatu kepimpinan tertinggi Umno disiasat SPRM, mereka tertekan dengan isu melanda parti, mereka harus terima hakikat apa yang mereka lakukan sebelum ini bebankan rakyat, hingga tinggalkan hutang cecah trilion ringgit,” katanya.Menurutnya, PH menyerahkan perkara itu kepada kebijaksanaan mahkamah untuk putuskan, dan pada masa sama berusaha menunaikan janji kepada rakyat.

“Kita pegang janji kepada rakyat, perintah dengan amanah dan wibawa. Buat kerja untuk angkat  martabat negara, elakkan terpalit rasuah dan kleptokrasi seperti kerajaan BN terdahulu,” katanya.