JITRA - Persatuan Bekas Anggota 9 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Zon Utara membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, yang didakwa menghina Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

Pengerusinya, Zainol Ahmad berkata, laporan itu dibuat kerana Mahfuz bersikap biadap selain menghina institusi kesultanan Melayu.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Beliau selaku pemimpin politik tidak wajar melibatkan institusi raja dengan isu politik.

“Kami kecewa dengan tindakan beliau menyebabkan satu laporan polis dibuat atas sikap biadap beliau itu,” katanya, selepas membuat laporan di Balai Polis Jitra, hari ini.

Menurutnya, pihaknya berharap siasatan dibuat terhadap Ahli Parlimen terbabit.

Laporan itu dibuat susulan tersebar klip video ceramah Mahfuz menerusi laman sosial yang mengulas kewajaran Tun Dr Mahathir Mohamad yang berusia 93 tahun dipilih sebagai calon perdana menteri dengan membuat perbandingan dengan Sultan Ahmad Shah walaupun sedang gering.