SEREMBAN - Impian seorang penoreh getah untuk miliki rumah sendiri tercapai apabila dia menerima bantuan pembinaan rumah baharu menerusi Program Bantuan Rumah di bawah projek Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Sebelum ini Sharin Ab Rahman, 49, bersama dua anaknya berusia 21, dan 17 tahun tinggal di sebuah pondok kedai makan yang ditinggalkan di Kampung Tiroi, Batu 7, Labu di sini.

Menurutnya, dia terpaksa tinggal di situ kerana tidak mampu untuk menyewa dan kadang kala menumpang di rumah kakaknya di kawasan berhampiran.

“Pondok kedai makan itu kakak saya yang punya dan saya tinggal di situ sejak tiga tahun lalu. Keadaannya memang tak selesa dan teruk sebab banyak bocor.

“Tapi saya tiada pilihan lain, tidak mengapalah janji ada tempat untuk berteduh. Tapi bila ditawarkan bantuan pembinaan rumah ini, saya bersyukur sangat kerana tak pernah terfikir yang saya akhirnya ada rumah sendiri,”katanya yang telah berpisah dengan isteri sejak lima tahun lalu.

Sharin berkata, meskipun rumahnya masih tiada perabot dan kelengkapan lain namun dia tetap teruja untuk menyambut Adilfitri tidak lama lagi.

Katanya, dia berterima kasih kepada pihak kerajaan termasuk pemimpin masyarakat yang membantunya untuk mendapatkan bantuan rumah berkenaan.

“Perasaan ini sukar digambarkan. Pastinya sambutan hari raya tahun ini akan jadi lebih meriah, ”katanya pada majlis penyerahan rumah diadakan di rumahnya di sini, semalam.

Majlis penyerahan disempurnakan oleh ADUN Labu, Datuk Hasim Rusdi.

Hadir sama, Timbalan Pengarah GiatMara Negeri Sembilan, Suhaini Hazli Abu Bakar.

Projek pembinaan rumah Sharin diuruskan oleh GiatMara Negeri Sembilan dan mula dibina pada 8 Februari lalu dan siap pada 21 April lalu.