GEORGETOWN – Kerajaan Persekutuan diingatkan supaya tidak mendiskriminasikan hak rakyat Pulau Pinang untuk menerima bantuan mangsa banjir seperti yang diterima oleh negeri lain.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, ia kerana bayaran kepada mangsa banjir pada November lalu adalah lebih sedikit berbanding negeri lain yang menerima sebanyak RM500.

“Dalam kaca mata Kerajaan Persekutuan macam tak ada banjir teruk berlaku di Pulau Pinang. Sejak 2013 hingga 2016, sebanyak RM235 juta telah diperuntukkan kepada semua mangsa banjir di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, Pulau Pinang dapat paling sedikit iaitu RM35,000 saja. Alasannya ialah Pulau Pinang hanya alami monsun pada 2013.

“Kerajaan juga memberi alasan bahawa pada 2014 sehingga 2016 tiada kejadian banjir monsun melanda Pulau Pinang, kecuali kejadian banjir kilat sahaja,” katanya kepada media, hari ini.

Menurutnya, bayaran bantuan mangsa banjir RM250 yang akan disalurkan kepada rakyat Pulau Pinang pada pertengahan bulan ini adalah tidak adil berbanding negeri lain yang dapat RM500.

“Kerajaan Persekutuan janji untuk pertimbangkan bantuan RM500 kepada mangsa banjir di negeri ini. Pada masa sama, kerajaan negeri juga telah buat bayaran sebanyak RM700 kepada lebih 50,000 mangsa banjir.

“Sebanyak RM36.6 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri untuk membayar bantuan kepada mangsa-mangsa banjir pada November lalu.

“Kita tak minta mereka bayar jumlah yang sama seperti kerajaan negeri bayar, cuma bayar RM500 sama seperti yang dibayar kepada mangsa-mangsa banjir yang lain,” katanya.

Sementara itu, Guan Eng turut mempersoalkan jumlah mangsa banjir yang akan menerima bantuan RM250 oleh kerajaan persekutuan.

“Kenapa hanya 22,000 mangsa banjir yang akan menerima bantuan dan bukan jumlah yang sama seperti dibayar oleh kerajaan negeri.

“Ini tidak adil kerana mereka juga mangsa banjir. Di negeri lain boleh dapat RM500, tapi di Pulau Pinang hanya dapat RM250 saja.

“Pulau Pinang juga sebahagian daripada Malaysia. Jangan diskriminasikan hak rakyat Pulau Pinang untuk mendapat bantuan tersebut,” katanya.