SUNGAI PETANI - Jenazah pendakwah, Ustaz Murtadha Yusoff, 30, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Penghulu Him, di sini, kira-kira jam 7 petang tadi.

Lebih 500 hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang meninggal dunia akibat komplikasi pada paru-paru di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Taiping jam 12.30 tengahari, semalam, selepas bertarung nyawa akibat terlibat dalam nahas jalan raya, 3 Januari lalu.

Berita kematian itu dikongsi Ustaz Mohammad Yaakub Yusra, yang memuat naik status di Facebook miliknya, petang tadi.

Jenazah dibawa dari Hospital Taiping ke rumahnya di Kampung Bakar Kapor kira-kira jam 4.30 petang untuk dimandikan. Selepas dikafankan jenazah  dibawa ke masjid pada jam 5.30 petang untuk solat jenazah yang diimamkan Syeikh Muhammad Kurayyim Rojih dari Yaman.

Isteri Allahyarham, Nurul Ana Shafie, 30, ketika ditemui berkata, ketika sampai di hospital pagi tadi dia mendapati suaminya sudah dalam keadaan tenat.

"Sebelum ini keadaan arwah suami stabil namun pagi tadi, saya dimaklumkan kadar oksigen arwah suaminya  menurun secara tiba-tiba. Sejam selepas saya sampai di hospital, suami disahkan meninggal dunia," katanya.

Katanya, dia reda dengan pemergian arwah suaminya yang meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya dalam  kemalangan ketika perjalanan pulang selepas menjalankan program dakwah di Indonesia.

Sementara itu , ibu Allahyarham, Noorshams Mohd Nazir, 60, berkata, anak ketiga daripada sembilan beradik itu mendapat rawatan di ICU hospital itu selama 11 hari selepas kereta dipandunya terlibat dalam satu kemalangan jalan raya.

"Saya sempat menghubungi ayah arwah sejam sebelum kejadian itu. Saya difahamkan masa kejadian hujan renyai-renyai.

"Arwah didapati alami kecederaan serius di bahagian kepala dan kali terakhir saya melihatnya Khamis lalu, kira-kira jam 11 pagi di hospital itu.

"Turut alami kecederaan dalam kemalangan itu, termasuk dua rakanya, Mohamad Wadi Anuar Ayub dan Hambali Zulkifli serta bapanya sendiri, Yusof Ahmad," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bakar Kapor, di sini, sebelum jenazah tiba dari hospital.

[ARTIKEL BERKAITAN: Empat guru agama kemalangan: Beg udara tak berfungsi]

Noorshams berkata, mereka sebelum itu mengadakan kuliah agama di Riau, Indonesia.

"Kereta jenis Nissan Grand Livina yang mereka naiki terbabas semasa tiba di Taiping dan Murtadha terus tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia akibat mengalami pendarahan dalam otak," katanya.

Menurutnya, anaknya itu merupakan bekas pelajar Sekolah Agama Deris Sungai Layar di sini dan sering diundang menyampai ceramah agama di negeri Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Murtadha yang kini dalam rancangan membina Masjid Darul Murtadha di Kampung Teluk, Sungai Layar di sini meninggalkan  isteri, Nurul Ana serta dua  anak lelaki, Abdul Rahman Faqeh, 4, dan Abdul Rahman Naufal, 2 tahun.

Hasrat itu dijangka akan diteruskan oleh kenalan rapatnya.