• Rumah Saroji musnah dalam kebakaran di Kampung Raja Musa, malam semalam. Rumah Saroji musnah dalam kebakaran di Kampung Raja Musa, malam semalam.
1 /

TANJONG KARANG - “Saya sedang menonton televisyen selepas berbuka sebelum terkejut mendengar jeritan adik yang panik melihat api marak dari sebuah bilik sebelum kami bergegas keluar dari rumah,” kata mangsa kebakaran,
Mohd Farhan Saroji di Kampung Raja Musa, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu, mangsa bersama anak saudara sedang leka menonton televisyen sebelum terdengar jeritan adik bongsunya yang berada di tingkat atas yang terkejut melihat api marak di bahagian siling rumah.

Mohd Farhan berkata, jeritan adiknya mendorongnya untuk naik ke tingkat atas melihat keadaan yang berlaku  sebelum  menyuruh anak saudara dan kakak yang pulang untuk berbuka puasa menyelamatkan diri dan segera keluar dari rumah itu.

“Sebelum kejadian, adik Mohd Faid  Hilman terhidu bau asap sebelum memeriksa bilik yang ada tingkat atas, meskipun panik namun kami semua berjaya keluar dari rumah itu sebelum menghubungi pihak bomba,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.

Berita kebakaran itu turut mengejutkan bapanya yang juga Pengerusi  Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Raja Musa, Saroji Tijan yang ketika kejadian menghadiri program penyampaian zakat di sebuah masjid berhampiran.

Saroji berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan berita buruk itu sebelum bergegas pulang ke rumah memandangkan bimbang keselamatan  ahli  keluarganya kira-kira 10 orang termasuk anak dan cucu yang berkumpul di rumahnya itu untuk berbuka puasa.

“Sebaik sahaja tiba, saya bersyukur semuanya selamat namun sebak melihat rumah yang musnah terbakar di saat umat Islam akan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya sebak.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar yang menerima berita itu terus bergegas ke tempat kejadian sebelum menghulurkan bantuan segera bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga terbabit.