SARANAN kahwin seumur 14 bagi remaja perempuan dan 16 bagi lelaki yang dicadangkan oleh Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar sebelum ini, terus menjadi perdebatan hangat.

Malah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim melalui Twitternya  juga mempersoalkan cadangan tersebut ia juga sebagai tindakan tidak masuk akal.     

[ARTIKEL BERKAITAN: Ini betul-betul gila: TMJ]

Namun, dalam kalangan rakyat juga ada pelbagai pendapat dan cadangan di laman Facebook.

Bagi Anakdesa AD, pada usia itu adalah lebih sesuai untuk mereka menumpukan kepada kepada pelajaran terlebih dahulu.

"Perkahwinan di usia remaja, adakalanya dipersiakan begitu sahaja terutama pasangan kanak- kanak perempuan. Apa yang mereka boleh lakukan di usia begini," tulisnya.

Ia juga disokong oleh Mohamad Irham Sa'aban, kerana  pada usia 14 tahun, ketika ini, mereka perlu berada di sekolah dan bukan perlu menjaga suami.

"Masa ini mereka perlu ke sekolah belajar dan habiskan zaman remaja mereka dengan baik. Belum keperluan mereka untuk tumpu menjaga suami," tulisnya.

Meskipun ramai yang tidak menyokong cadangan itu, ada juga yang bersetuju dengan cadangan mufti tersebut yang mungkin melihat ia satu keperluan berdasarkan kepada perkembangan semasa.          

Bagi Mohd Hafizi, semasa menurunkan had umur untuk mengundi kerana alasan kematangan bukan diukur dari umur tetapi bila berkaitan perkahwinan dikatakan manipulasi kepada kanak-kanak pula.

"Kalau dakwaan disertakan dengan fakta seperti statistik memang berlaku manipulasi seks dan pernikahan muda ini lebih banyak berlaku penceraian berbanding pasangan 'matang', mungkin cadangan itu tidak harus diperdulikan. Tetapi semuanya hanya bercakap berdasarkan pendapat dangkal," tulisnya.

Sharifuddin T'shooppe pula berkata, hujah dan alasan mufti adalah untuk mengelakkan remaja dari terjebak penzinaan berdasarkan keadaan semasa.

"Antara remaja sama remaja, dan bukannya lelaki tua kahwin dengan remaja perempuan. Itu hujah mufti," tulisnya.   

Perkara itu turut disokong Amey Liverpool yang juga berpendapat, budak-budak lelaki dan perempuan zaman sekarang terlebih bebas.

"Mereka terdedah dengan pelbagai aktiviti sosial. Apatah lagi di zaman teknologi ini.  Berbanding pada zaman 60-70-an, pergaulan mereka terbatas dan kes-kes zina dan buang anak tidak seperti mana sekarang.

"Malah remaja yang berumur 16 tahun sudah boleh membawa kenderaan mereka sendiri untuk pergi berdating.

Sementara itu, ada juga yang mencadangkan perkara ini perlu dibincangkan secara teliti melibatkan banyak pihak.

Hiei Kamitake berkata, ia baharu cadangan sahaja dari mufti tersebut.

"Ia mungkin pandangan berdasarkan kepada situasi yang dilihat di negeri tersebut menyebabkan cadangan itu diutarakan.  Jadi mungkin ia perlu diperhalusi lagi," tulisnya.       

Manakala Ned Taufik berkata, jika ramai yang tidak bersetuju dengan cadangan itu, jadi apa solusinya yang sesuai.

"Dicadangkan pihak-pihak yang terlibat dapat turun padang, tengok sendiri realiti sekarang. Budak-budak sekolah pun sudah pandai 'ha***ng s**s'.  Jadi cadangan kahwin muda itu adalah jalan yang lebih baik daripada mereka melakukan perkara yang tidak sepatutnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan memperhalusi cadangan Mufti Sabah Datuk Bungsu @Aziz Jaafar berkenaan menurunkan had umur minimum perkahwinan kepada 14 dan 16 tahun masing-masing bagi remaja perempuan dan lelaki.

Mengulas mengenai cadangan itu, Mohd Shafie berkata cadangan itu juga perlu dirujuk bersama dengan pihak lain yang lebih arif dalam bab keagamaan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Perhalusi cadangan mufti turun had umur perkahwinan]