SHAH ALAM - Bagi melindungi kepentingan pelanggan, Dutch Lady hari ini menjelaskan bahawa terdapat ciri-ciri khas pada produknya yang membolehkan pelangganya mengenal pasti sama ada produk berkenaan palsu atau yang original.

Pengarah Urusan Dutch Lady Malaysia, Tarang Gupta berkata, perkongsian ini diharap dapat membantu pelanggan daripada terbeli produk  palsu.

"Kami menyedari bahawa maklumat yang tidak tepat telah mula disebarkan di media sosial ketika para netizen berkongsi kebimbangan mereka.

"Bagi melindungi kepentingan pelanggan, kami perlu memperbetulkan spekulasi terhadap beberapa butiran pembungkusan kami yang telah disalah anggap sebagai penunjuk produk palsu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat atau menyebarkan maklumat palsu yang boleh menimbulkan keresahan di kalangan orang awam.

"Kami menggalakkan pengguna untuk merujuk kepada pusat perkhidmatan pelanggan kami sebelum memapar atau berkongsi sebarang maklumat di media sosial," tambahnya.

Berikut merupakan penjelasan ciri-ciri berkenaan.

Dutch Lady ingin menjelaskan bahawa ciri-ciri di bawah terdapat dalam semua produk Dutch Lady yang sahih.

·        Kod kelompok yang bermula dengan nombor 100, 101, 102 dan 103

·        Tarikh luput yang berakhir dengan (R), (W1), (W2), dan (W3)

·        Variasi pembungkusan yang mepunyai perkataan “Calcium” dan “Kalsium”

·        Variasi pembungkusan yang menunjukkan logo FrieslandCampina bersama dan tanpa kotak  putih.

Untuk pertanyaan lanjut mengenai produk Dutch Lady, sila hubungi Careline Dutch Lady di 1800-88-1191 atau melalui e-mel di dutchladycareline@frieslandcampina.com.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.dutchlady.com.my/milkbatchinvestigation.