SHAH ALAM - Centre For Malaysian Political And Economic Transcendence (Competent) menggesa Kementerian Pendidikan supaya menerapkan penggunaan merit dengan lebih berkesan bagi kemasukan pelajar ke universiti awam.

Ketua Eksekutifnya, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, walaupun sistem kuota universiti telah lama ditinggalkan, pelajar bumiputera dan bukan bumiputera dipisahkan oleh laluan prauniversiti yang perlu ditempuhi sebelum melangkah ke universiti.

"Pelajar bumiputera kebanyakannya melalui sistem matrikulasi manakala pelajar bukan bumiputera pula majoritinya mengambil STPM yang silibusnya dikatakan lebih susah. Hasilnya, pelajar bukan bumiputera amat sedikit bilangannya di dalam universiti awam.

"Jika pelajar bumiputera sentiasa dilindungi daripada persaingan  dalam universiti, bagaimanakah pula nasib apabila mereka terpaksa bersaing dalam pasaran kerja? Adalah tidak mengejutkan apabila graduan bumiputera dilaporkan mempunyai kadar pengangguran lebih tinggi berbanding graduan bukan bumiputera," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, beliau turut berpandangan bahawa persaingan mengejar merit kemasukan ke universiti awam di universiti akan menghasilkan graduan yang sentiasa memperbaiki mutu hasil kerja mereka.

"Jika merit tidak diberikan penekanan dalam budaya kerja, maka budaya mengampu pula yang akan menggantikannya," katanya.

Sementara itu, Competent juga meminta Kementerian Pendidikan  merangka satu standard berdasarkan merit dalam melantik naib canselor dan timbalan naib canselor universiti.