ALOR SETAR - Kerajaan perlu bertindak tegas terhadap kempen yang mahu menghalalkan gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) di negara ini.

Ketua Wanita Umno Kedah, Datuk Sharifah Maznah Syed Kassim Barakbah berkata, sekiranya komuniti itu diberi pengiktirafan dan hak sama rata, dibimbangi ia membawa bencana terhadap keharmonian masyarakat selain menghancurkan sistem adat di negara ini.

Menurutnya, golongan itu sepatutnya berasa malu untuk menuntut hak kebebasan kerana mereka yang membuat pilihan untuk songsang berbanding naluri manusia normal.

“Kami ingin tegaskan, jika hak sama rata yang dimaksudkan adalah mereka dibenarkan melakukan aktiviti LGBT dengan bebas tanpa sebarang tindakan undang-undang, maka hak berkenaan harus ditentang semua pihak,” katanya.

Sharifah Maznah berkata, beberapa negara barat yang sering mendakwa negara mereka adalah juara hak asasi manusia juga tidak pernah memberi hak kebebasan perkahwinan sama jenis di negara berkenaan.

“Apa lagi hak yang mereka mahu sedangkan selama ini mereka menikmati hak sama seperti masyarakat lain. Namakan apa hak yang tidak diperolehi mereka, baik dari aspek pendidikan, kesihatan, ekonomi atau pekerjaan,” katanya.

Oleh itu beliau menggesa kerajaan dan pihak berkuasa agama menghalang sebarang percubaan golongan LGBT untuk mendapatkan sebarang keistimewaan.