NAZA TTDI mengekalkan KL Metropolis yang bernilai RM20 bilion, iaitu sebuah pembangunan guna campur seluas 3.02 hektar, sebagai pembangunan karyatamanya di Lembah Klang.

Menjangkakan pasaran hartanah yang suram sepanjang separuh pertama 2018, cabang hartanah Kumpulan Naza ini telah mengambil langkah-langkah pemulihan yang diperkukuhkan oleh pembangunan destinasi perdagangan dan pameran terbesar di Malaysia.

Pengarah Eksekutif/Ketua Pegawai Operasi Naza TTDI Sdn Bhd, Datuk Idzham Mohd Hashim berkata, KL Metropolis terus menjadi fokus utama pembangunan.

“Jualan Met 1 Residences telah menunjukkan kenaikan bertambah. Kami yakin trend ini akan terus mengukuh menjelang separuh kedua tahun ini apabila kami melancarkan satu lagi produk di sini tidak lama lagi,” katanya.

Met 1 Residences telah memenangi anugerah Pembangunan Kondominium Terbaik (Amat Disyorkan) di Lembah Klang oleh PropertyGuru Asia Property Awards 2018 (APA), Malaysia.

KL Metropolis pula menerima anugerah Pembangunan Komuniti Lestari Terbaik oleh Property Insight Prestigious Developer Award 2018 (PIPDA) pada Jun 2018.

Keyakinan syarikat turut disokong oleh sebuah lagi produk menyasarkan pelabur hartanah yang bakal dilancarkan. Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) bernilai lebih RM350 juta peluang pelaburan ini disasarkan kepada segmen hartanah khusus yang potensinya belum pernah dimanfaatkan secara optimum.

Separuh kedua 2018 juga bakal menyaksikan pemaju swasta tempatan ini melancarkan komponen perniagaan MET1 di KL Metropolis. Kawasan tempat makan terbuka, medan selera berprestij, ruang pameran mewah dan kemudahan berkaitan yang menyasarkan kawasan sekitar Jalan Dutamas merupakan ciri utama komponen perniagaan ini.

Dua lagi projek pembangunan yang masih di tahap pembinaan di KL Metropolis ialah MET Corporate Office Towers oleh Triterra Metropolis Sdn Bhd dan Art Mont Kiara oleh Nusmetro Sdn Bhd. Bangunan MET merupakan menara pejabat korporat berstrata Gred A pertama di KL Metropolis yang menawarkan dua menara setinggi 30 dan 42 tingkat. Arte Mont Kiara menawarkan 1,706 kediaman servis yang mempunyai keluasan daripada 422 kps hingga 1,142 kps. Triterra dan Nusmetro merupakan rakan perniagaan Naza TTDI untuk KL Metropolis.

Katanya, Naza TTDI yakin pasaran akan bertambah baik.

“Keadaan pasaran yang tidak tentu akan mengurang tidak lama lagi apabila kerajaan memperkenalkan inisiatif baharu kepada masyarakat.

“Apabila pasaran kembali stabil dan sikap tunggu-dan-lihat mengurang, pasaran hartanah akan melihat perubahan positif yang dipengaruhi oleh permintaan dalam pasaran oleh golongan berpendapatan sederhana dan sederhana-atas,” katanya.

Datuk Idzham turut berkata, sebagai pemaju tempatan yang sensitif dengan permintaan tempatan, Naza TTDI akan memasuki pasaran dengan pembangunan yang menawarkan lokasi yang tepat, tawaran nilai yang betul dan rekaan inovatif untuk pelanggan.

“Namun syarikat juga berminat untuk melebarkan sayap ke pasaran antarabangsa dalam masa terdekat apabila terdapat peluang yang sesuai,” katanya.