SEREMBAN – Kurangnya promosi pelancongan di negeri ini menjadi faktor utama Negeri Sembilan ‘terlepas’ daripada tumpuan pelancong luar.

Presiden Pelancongan Malaysia (MTC), Uzaidi Udanis berkata, Negeri Sembilan terutama Seremban mempunyai banyak produk pelancongan menarik dan boleh diketengahkan sekiranya mempunyai promosi yang berterusan.

“Sekurang-kurangnya 150 bas pelancong yang mendarat di Singapura setiap hari akan dibawa ke Melaka dan Kuala Lumpur, tetapi mereka tidak berhenti masuk ke Seremban, padahal di Seremban banyak produk pelancongan yang menarik.

“Mungkin agensi pelancongan tidak menyedari keunikan yang ada di Negeri Sembilan, menyebabkan mereka hanya lalu sahaja merentasi sempadan ini, tanpa singgah melihat apa yang ada di kawasan Seremban," katanya.

Katanya selepas Perasmian Pameran Produk Pelancongan Negeri Sembilan yang turut dihadiri Speaker Dun, Zulkifly Mohd Omar; Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia, Datuk Mohd Razali Hussain  dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban, Datuk Zazali Salehudin, di Royale Chulan Seremban, semalam.

Menurutnya, justeru program usahasama Nexus Produktiviti Pelancongan dan Perbadanan Produktiviti Malaysia dengan kerajaan negeri akan terus dipergiatkan bagi mempromosikan Negeri Sembilan terutamanya daerah Seremban sebagai salah satu tempat pelancongan yang wajib dikunjungi.

"Tahun lalu pencapaian produktiviti pekerja bagi Sektor Pelancongan sebanyak RM50,914, iaitu pertumbuhan sebanyak 1.1 peratus sahaja yang menyumbang kepada sektor perkhidmatan secara keseluruhan.

“Sehubungan itu, usahasama antara semua pihak akan terus dipertingkatkan selari dengan inisiatif ke arah mencapai pertumbuhan produktiviti sektor perkhidmatan yang menyasarkan pada kadar 4.1 peratus setahun,” katanya.

Dalam pada itu, seramai 250 penggiat industri pelancongan dari Singapura dan lain-lain negeri seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kedah, Perak dan Pulau Pinang terlibat dalam mengenal pasti produk pelancongan baharu atau sedia ada di negeri ini untuk diketengahkan dalam program pameran pelancongan itu.

"Terdapat pelbagai aktiviti dilakukan antaranya mengenalpasti destinasi pelancongan yang wajib dilawati seperti Pokok Getah Pertama di Negeri Sembilan, Galeria Diraja Negeri Sembilan, NS Galeria Chocolate World, Muzium Negeri Sembilan, Colours of Negeri Sembilan, Pachitan Homestay, PD Ostrich Farm, dan banyak lagi produk pelancongan yang sedia dan baharu akan diketengahkan secara serius, bagi meningkatkan hasil pelancongan," katanya.