BANDAR BAHARU - Lebih 10,000 penduduk di tiga mukim di sini berdepan dengan masalah bekalan air paip yang sering terputus sejak kira-kira lima tahun lalu.

Bagaimanapun masalah penduduk di Mukim Relau, Selama dan Serdang itu menjadi lebih kritikal sejak dua bulan lalu apabila bekalan air sering terputus berlarutan sehingga beberapa hari.

Pembantu kedai, Saadiah Hashim,51 berkata masalah air ini sebenarnya telah berlaku lima tahun lalu namun dua bulan kebelakangan ini menjadi semakin teruk.

"Lama sudah masalah ayaq di kawasan ini, tapi lani makin kerap kadangkala sampai dua hingga tiga hari tak ada ayaq.

"Pukul 1 atau 2 pagi baru ada balik, jenuh kami nak bangun tunggu ayaq setiap hari," kataya kepada Sinar Harian.

Peniaga minuman dan makanan, Suhana Md Zin,36 berkata masalah bekalan itu menyebabkan operasi perniagaannya terpaksa ditutup lebih awal.

"Lani berniaga pun kena tutup awal, kalau dulu pukul 5 petang baru tutup tapi lani pukul 1 sudah kena tutup sebab ayaq tak ada.

"Sebagai alternatif kami ada beli tangki ayaq dengan kos lebih kurang RM5,000 untuk takung ayaq dan digunakan apabila bekalan terputus," katanya.

Selain itu, penduduk Taman Cempaka, Mohd Zulhelmy Mohd Rosdy,29 berkata masalah air di kawasan itu telah diadukan kepada syarikat bekalan air terbabit namun keadaan masih sama.

"Sejak dua minggu lalu masalah ayaq di sini sangat teruk, aduan berapa kali kami buat tapi macam ini juga.

"Banyak pula alasan yang depa bagi, minta hantar ayaq pun tak ada. Terpaksa kami pi beli ayaq mineral untuk minum,"katanya.

Malah, Mohd Zulhelmy berkata notis daripada syarikat bekalan air berkenaan juga tidak pernah diterima sejak keluarganya menetap di kawasan itu tiga tahun lalu.

"Selama saya duduk di sini, ayaq tak ada tak pernah terima notis daripada pihak syarikat bekalan ayaq, buka paip tengok tak ada air,"katanya.

Dalam pada itu, Adun Bandar Baharu Datuk NorSabrina Mohd Noor berkata lebih 10,000 penduduk di daerah ini berdepan dengan masalah bekalan air kritikal.

Katanya, masalah ini hanya boleh diselesaikan dengan menaiktaraf loji rawatan air (LRA) di Lubuk Buntar.

"Masalah ini sudah lama saya dulu dalam kerajaan negeri juga telah bawa masalah ini, dan pihak Syarikat Air Darul Aman (Sada) juga maklumkan hanya naik taraf loji air di kawasan ini saja dapat selesaikan masalah penduduk.

"Perkara ini tidak boleh ditangguhkan lagi, makin lama makin teruk masalah air di kawasan ini dan boleh memberi kesan buruk kepada penduduk,"katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan lebih 200 penduduk di Kampung Kilang Batu, Relau turut berdepan masalah sama dan keadaan menjadi semakin kritikal.