PUTRAJAYA - Seramai 17,869 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan Jabatan Imigresen di negara ini, sejak 1 Januari lepas hingga semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata penahanan itu hasil daripada 6,019 operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan sepanjang tempoh tersebut.

“Selain itu, 455 majikan yang masih berdegil menggaji atau melindungi PATI turut ditahan sepanjang tempoh ini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Mustafar berkata daripada keseluruhan Pati ditahan, jumlah tertinggi adalah warga Indonesia 6,315 orang, Bangladesh (3,403), Filipina (1,956), Myanmar (1,748) dan bakinya dari negara-negara lain.

Bagi Program Penggajian dan Penempatan Semula, beliau berkata sejak 1 Jan lepas sehingga semalam, 744,942 PATI dan 83,919 majikan mendaftar untuk program itu.

Daripada jumlah itu, 482,535 merupakan Pati warganegara Bangladesh, Indonesia (118,115), Myanmar (43,860), India (32,992) dan selebihnya dari lain-lain negara sumber, katanya.

Di bawah program serah diri secara sukarela iaitu Program 3+1, katanya 92,280 Pati mendaftar dan pulang ke negara asal melalui program berkenaan.

“Daripada jumlah ini, 53,129 Pati melakukan kesalahan tinggal lebih masa dan 39,151 Pati melakukan kesalahan tiada pas atau permit yang sah,” katanya.

Mustafar berkata Jabatan Imigresen komited menyahut seruan Menteri Dalam Negeri yang baharu Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menangani isu berkaitan Pati dan warga asing di negara ini.

“Jabatan Imigresen memberi jaminan akan mengambil segala langkah perlu dan tindakan tegas tanpa kompromi untuk menangani isu-isu berkaitan Pati dan warga asing yang melakukan kesalahan,” katanya. - Bernama