KUANTAN - Seramai 45 termasuk mahasiswa antarabangsa Universiti Malaysia Pahang (UMP) termasuk  menanam 500 pokok bakau di pantai Chendor di sini, semalam.

Pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam itu turut berganding bahu membersihkan pantai pada program khidmat komuniti itu.

Bagi dekan fakulti itu, Dr Mohamad Idris Ali, menjaga alam sekitar menjadi tanggungjawab  semua namun masih ramai yang kurang kesedaran mengenai kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar.

Menurutnya, program itu dapat memberi pendedahan mahasiswa fakulti itu  khususnya mahasiswa antarabangsa tentang kepentingan aspek pemuliharaan pantai.

"Aktiviti itu juga dapat membuka mata  sukarelawan untuk lebih memahami pentingnya menjaga alam sekitar serta meningkatkan kesedaran terhadap bahaya pencemaran pantai.

“Selain menanam pokok, aspek kebersihan juga perlu dititikberatkan kerana pembuangan bahan plastik boleh mendatangkan bahaya kepada kehidupan laut terutama penyu," katanya.