MALAYSIA Airports Holdings Bhd (MAHB) menjelaskan tidak ada sebarang rancangan segera untuk membina terminal ketiga bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) seperti yang dilaporkan.

Pengarah Urusannya, Datuk Badlisham Ghazali, berkata, sebaliknya MAHB sedang menimbang untuk meluaskan dan mengubah suai Terminal Utama KLIA serta menaik taraf sistem, yang dijadualkan dilaksanakan dalam masa lima tahun lagi.

Beliau berkata, masih belum masanya lagi bagi MAHB untuk menambah satu lagi terminal baharu kepada sistem lapangan terbang KLIA.

“Pelan Induk  KLIA memperuntukkan tanah yang luas dan boleh menampung lebih  banyak terminal tengah bagi KLIA dan klia2 serta landasan tambahan pada masa hadapan.  

“Pada masa ini kami komited untuk membuat pelaburan dalam menaik taraf dan meluaskan terminal yang ada untuk meningkatkan kapasiti.

“Selepas itu baharulah kita boleh berbincang mengenai terminal baharu – KLIA3, tetapi ia masih jauh lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan laporan yang menyatakan MAHB merancang untuk membangunkan terminal baharu dalam masa lima tahun lagi kerana terminal sedia ada, KLIA dan klia2 hampir mencapai kapasiti penuh.

Pada masa ini kapasiti digabungkan KLIA adalah sebanyak 75 juta penumpang setahun.

Pada 2017, ia mencatatkan 58.6 juta pergerakan trafik penumpang dan masih mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk menampung pertumbuhan trafik dalam masa terdekat ini. - Bernama