Lazimnya watak yang dipegang bersifat antagonis. Marah tatkala melihatkan lakonan bersahajanya, malah pastinya ada khalayak menonton yang beranggapan itulah wajah sebenar pelakon ini. Hakikatnya Maimon Muttalib, 54 tahun, seorang yang mesra, ramah dan sering kali berlelucon ketika pertemuan pertama penulis bersama Kak Mon sekitar tiga tahun lalu.

 

Ibu tunggal yang kematian suaminya 15 tahun lalu, begitu gigih membesar lima cahaya mata melalui bidang seni. Diredah segala kepayahan demi mencari wang untuk kelangsungan sebuah kehidupan. Nyata Kak Mon seorang yang kental dan kuat semangatnya.

 

Namun bertentang mata dengannya baru-baru ini mengundang kesedihan. Pelakon berpengalaman ini disahkan menghidap kanser payudara tahap keempat. Terserlah tubuhnya semakin susut, hilang keserian di wajahnya tetapi senyumnya mengiringi kehadiran kami ke kediamannya yang terletak di Seksyen 17, Shah Alam.

 

“Saya berserah kepada Allah SWT. Namun saya tidak boleh menafikan bahawa dalam fikiran saya sentiasa tertumpu perihal anak-anak. Saya susah hati kerana tidak dapat bekerja.  Saya fikirkan mereka apabila saya tiada kelak. Saya tidak tahu sampai bila saya dapat bertahan.

 

“Bagaimanapun saya redha dengan segala ketentuan ini. Buat masa ini saya bersyukur kerana anak-anak sentiasa bersama. Mereka boleh diharap untuk membantu saya. Merekalah yang menguruskan segala keperluan saya. Di kala saya mahu makan lempeng jam 3 pagi, mereka sediakan. Anak-anak ikutkan sahaja kerana mereka mahu saya makan memandangkan saya sering kali patah selera,”ujarnya perlahan.

 

Sesungguhnya Allah SWT telah mengaturkan segalanya dengan baik. Jika sebelum ini wang hasil lakonan yang menanggung kehidupan Kak Mon sekeluarga tetapi setelah jatuh sakit dan tidak mampu berlakon, ramai yang memberi sumbangan kepadanya.

 

“Saya bersyukur kerana terdetiknya hati mereka untuk membantu saya. Saya amat menghargai doa dan sumbangan teman-teman dalam meringankan beban,” katanya yang baru sahaja keluar dari hospital kerana kekurangan darah dalam tubuh.

 

Tindakan makan diri

Mencungkil kisah deritanya, ujar Kak Mon dia memilih untuk merahsiakan penyakitnya sebaik mengesan benjolan di bahagian payudara. Sengaja dia mendiamkan diri kerana tidak mahu merisaukan hati anak-anaknya. Jelas tindakannya itu memakan diri.

 

“Saya dapat rasakan ia kanser kerana terdapat ketulan tetapi saya takut untuk memberitahu orang di sekeliling saya. Bagaimanapun apabila berbual dengan rakan, secara tidak langsung saya bercerita mengenainya.

 

“Apabila rahsia saya pecah, saya mulai berubat secara tradisional. Ketika itu saya berpendapat jika orang lain boleh sembuh, begitu juga saya. Banyak tempat saya berubat. Ini semua ikhtiar yang saya lakukan untuk merawat penyakit ini. Bagaimanapun, nampaknya ia bukan rezeki untuk saya.

 

“Sehinggalah pada satu hari ketika saya menghadiri satu perhimpunan, sewaktu menuruni tangga saya terjatuh. Terhentak tubuh saya dan kaki kejang. Akibatnya saya tidak boleh berjalan sedangkan saya masih perlu menjalani penggambaran.

 

“Dalam pada itu, saya cuba merahsiakan mengenai penyakit saya. Saya hanya beli ubat di farmasi dan sapukan pada bahagian luka dan bernanah. Ada seorang doktor yang mengetahui keadaan diri saya memujuk saya untuk merujuk ke hospital tetapi saya berdegil,” kata ibu kepada Kamarul Syahid Keristifa, 34, Surayatul Nadia, 32, Surayatul Natasya, 25, serta sepasang kembar Abdul Rahman Haji dan Abdul Rahman Haj, 16.

 

Demikian sebahagian daripada kisah Kak Moon yang tabah menghadapi dugaan hidupnya. Bagaimana dia menghadapi dan tindakan anak-anak terhadapnya setelah melihat keadaannya yang semakin teruk, anda perlu dapatkan Mingguan Wanita terbaru di pasaran.