MELAKA - Jumlah mangsa banjir di Melaka kekal seramai 141 orang daripada 31 keluarga setakat pukul 8 malam ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata, kesemua mangsa berkenaan masih ditempatkan di empat pusat pemindahan banjir di Jasin dan Alor Gajah.

“Mangsa yang terjejas adalah dari Kampung Ayer Panas Bemban, Kampung Parit Lampong, Kampung Tanjung Laboh dan Kampung Parit Penghulu di Jasin serta Kampung Seri Jeram di Alor Gajah.

“Empat pusat pemindahan masih beroperasi ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bemban, Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel dan SK Parit Penghulu di Jasin serta Balai Raya Kampung Seri Jeram di Alor Gajah,” katanya dalam kenyataan, di sini malam ini.

Effendy yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka berkata, cuaca di seluruh negeri dilaporkan mendung dan kadangkala hujan renyai di beberapa kawasan, namun sehingga kini tiada tanda menunjukkan paras air meningkat. - Bernama

[ARTIKEL BERKAUTAN: Mangsa banjir di Melaka meningkat kepada 141 orang]