BATU KIKIR - Seorang lelaki maut apabila motosikalnya hilang kawalan lalu terbabas ke dalam longkang di kiri bahu jalan.

Dalam kejadian di Kilometer 4 Jalan Batu Kikir - Guntur (Sawah Lebar) itu, mangsa Nasharuddin Samad, 52, meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala.

Timbalan Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superintendan Azham Shah Azlan berkata, ketika kejadian jam 5.15 petang itu mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha FZ150i secara sendirian.

"Mayat mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Jempol untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika mengesahkan laporan sebentar tadi.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan, insiden itu telah menyebabkan kesesakan jalan sekitar satu kilometer namun berjaya dikawal tidak lama kemudian.