SHAH ALAM - Keputusan MCA untuk memakai logo sendiri pada PRK Balakong 8 September depan disifatkan sebagai strategi yang baik untuk mengukur sejauh mana kemampuan parti itu menarik undi serta sokongan masyarakat di Dun berkenaan terhadap mereka.

Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, ia satu cadangan yang menarik untuk mengetahui sama ada penggunaan logo MCA itu mampu menarik perhatian pengundi di situ atau tidak.

“Kalau tak cuba, kita tak tahu (guna logo MCA).

[ ARTIKEL BERKAITAN: PRK Balakong: MCA guna logo sendiri ]

“Mungkin ini juga masa terbaik untuk lihat atau ukur, adakah MCA masih relevan terutama dalam kalangan masyarakat Cina,” katanya.

Ditanya apakah BN khususnya Umno Selangor akan turun padang bagi membantu MCA dalam tempoh berkempen nanti, Mat Nadzari berkata, Umno, MCA masih dalam komponen yang sama, jadi prinsip kerjasama tidak pernah bubar.            

Terdahulu, Presiden MCA, Liow Tiong Lai memberitahu parti itu akan menggunakan logo sendiri pada PRK Balakong dan ia merupakan keputusan sebulat suara MCA yang akan disampaikan kepada BN nanti.

PRK Balakong akan dijalankan serentak bersama PRK Seri Setia pada 8 September nanti susulan kematian dua wakil rakyat Dun berkenaan, masing-masing, mendiang Eddie Ng Tien Chee dan Allahyarham Dr Shaharuddin Badaruddin.