PUCHONG - Tidak tahu apa motifnya, pakaian yang digantung beberapa penduduk Pangsapuri Blok F, Taman Puchong Permai di sini dibakar individu tidak dikenali, petang semalam.

Penduduk, Muhamad Fuad Abdul Rahman, 33, berkata, kejadian disedarinya apabila melihat semua baju disidai di ampaian yang diletakkan di luar rumahnya hangus terbakar.

Katanya, ketika kejadian dia, isteri dan seorang anak berusia tiga tahun tidak berada di rumah.

"Tak tahu kenapa individu tu buat begini...saya tak bermusuh dengan sesiapa. Mungkin ia angkara perbuatan khianat," katanya.

Fuad berkata, apabila ditanya kepada jirannya, dia dimaklumkan kebakaran berlaku kira-kira jam 3 petang sebelum api dipadamkan penghuni unit berhampiran.

"Apa pun saya ucapkan terima kasih kepada jiran yang bertindak pantas padamkan api, kalau tak mungkin ia boleh merebak hingga ke unit rumah diduduki," katanya yang akan membuat laporan polis kerana bimbang kejadian berulang.

Pakaian yang dilonggok dan dibakar depan rumah Junaidah.

Seorang lagi penduduk, Junaidah Abdul Aziz, 43, berkata, hanya tiga helai pakaian disidai di luar rumahnya tidak terbakar manakala yang lain hangus.

Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 5 petang itu tiada sesiapa di rumah, dia hanya mengetahui insiden itu apabila jiran menghubungi memberitahu rumahnya terbakar.

"Nasib saya tak buka tingkap bilik, kalau tak api mungkin merebak hingga ke langsir dan mungkin menyebabkan kebakaran lebih teruk lagi nanti," katanya.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Penduduk Blok F1-F10, Talhat Kasaali berkata, kejadian itu turut berlaku di tong sampah terletak berhampiran unit pangsapuri berkenaan.

"Tak tahu siapa yang buat kerja (bakar) ni, mungkin juga dilakukan budak-budak nakal," katanya.