• Pemilihan Umno
1 /

JOHOR BAHRU - Selain mempertahan jawatan Timbalan Presiden Umno, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan turut mempertahan jawatan Ketua Umno Bahagian Pagoh.
   
Borang pencalonan beliau bagi jawatan Ketua Umno bahagian itu diserahkan Setiausaha Bahagian, Datuk Abdul Aziz Hashim pada 8 pagi sejurus selepas pusat penghantaran borang berkenaan dibuka di sebuah hotel di sini.
   
Menurut Abdul Aziz, kepimpinan Umno Bahagian Pagoh menyokong penuh pencalonan Muhyiddin untuk mempertahan jawatan Ketua Bahagian yang disandang sejak 1986.
   
"Kita di Bahagian Pagoh menyokong seratus peratus pencalonan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengekalkan jawatan beliau sebagai Ketua Umno Bahagian dan menjangka tiada pertandingan untuk jawatan itu," katanya kepada Bernama.
   
Beliau berkata Umno Bahagian Pagoh turut menjangka tiada pertandingan bagi dua jawatan utama lain iaitu Timbalan Ketua Bahagian dan Naib Ketua Bahagian. - Bernama