SHAH ALAM - Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), telah membuat siasatan segera bagi tujuan semakan dan tindakan lanjutan, berhubung laporan yang menyatakan pekerja institut itu, ditangkap dalam kes pemburuan gajah.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Abd Latif Mohmod berkata, pihaknya berasa kesal dengan kejadian itu yang turut memalit nama FRIM.

“Kami amat kesal dengan tindakan yang tidak berhati perut ini dan merasa sangat kecewa sekiranya benar pekerja FRIM terbabit dalam kes tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan satu sindiket buru dan jual hidupan liar secara haram tumpas setelah empat lelaki termasuk seorang pekerja kontrak Institut Perhutanan Malaysia dicekup sepasukan anggota polis, Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, suspek mengaku menjual sepasang gading gajah dengan harga RM12,000 baru-baru ini.

Menurutnya, gading itu dijual dengan harga RM200 ke RM400 untuk satu gram mengikut pasaran semasa berdasarkan maklumat diterima daripada suspek yang melakukan aktiviti itu sejak tahun 2009.

Mengulas lanjut, Abd Latif berkata, FRIM memandang serius sebarang salah laku yang membabitkan kakitangannya dan beliau memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil dengan segera terhadap mereka yang didapati bersalah.

"Pengesahan bahawa pekerja FRIM tidak terlibat ini penting bagi FRIM kerana maklumat yang tidak tepat boleh memberi kesan negatif terhadap nama baik dan imej FRIM," jelasnya.