KUANTAN - Seorang pekerja kedai makan mengaku tidak bersalah di mahkamah sesyen di sini, pagi tadi, atas dakwaan meliwat seorang kanak-kanak berusia 15 tahun, September lalu.

Noreddy Mohd Nasir, 29, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kedai makan di Jalan Beserah di sini, kira-kira jam 11 pagi, 30 September lalu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd Nazari mengikut Seksyen 377A yang boleh dihukum di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Hakim Siti Aminah Ghazali membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bercagar serta syarat tambahan menjauhi mangsa selain menetapkan kes itu disebut semula 14 November ini.

Sementara itu, di mahkamah sama seorang pembakar sate berdepan didakwa kerana atas dua pertuduhan termasuk mencabul dan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, September lalu.

Bagaimanapun, Zulkhairul Kople, 28, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencium pipi dan melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa di Perumahan Komuniti Bersepadu, Pulau Serai Pekan, kira-kira jam 4 petang, 10 September lalu.

Bagi kesalahan mencabul, dia didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak Kanak 2017 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Dia turut didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa dan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan Zulkhairul diikat jamin RM24,000 bagi kedua dua kes dengan seorang penjamin bercagar dan menetapkan 14 November ini sebagai tarikh sebutan semuka kes bagi lantikan peguam.