KALANGAN penggiat industri minyak sawit masih mempunyai peluang terakhir untuk mengelak Kesatuan  Eropah (EU) melaksanakan langkah diskriminasi membabitkan larangan penggunaan bahan api bio berasaskan minyak sawit, kata Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Kalyana Sundram berkata, ini berikutan persetujuan dalaman tiga institusi EU dengan tindakan masing-masing menerusi rundingan atau trilog yang dilaksanakan secara tertutup.

Trilog itu merujuk kepada rundingan antara suruhanjaya, Parlimen dan majlis dan mencapai persetujuan dari segi kompromi membabitkan teks akhir atau deraf Rang Undang-Undang Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui (RED).

“Usaha trilog itu bermula dari akhir Februari 2018. Walaupun sebarang persetujuan awal yang dicapai dalam trilog itu adalah (bersifat) tidak rasmi dan perlu mendapat kelulusan prosedur rasmi dalam majlis dan Parlimen Eropah, sebarang keputusan yang dicapai itu akan diumumkan kepada awam.

“Ini merupakan peluang terakhir bagi mengelak (pelaksanaan) langkah larangan penggunaan bahan api bio berasaskan minyak sawit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Kalyana, hanya selepas itu satu-satunya saluran undang-undang yang wujud adalah beralih kepada sistem penyelesaian pertikaian Pertubuhan Perdagangan Dunit (WTO) membabitkan prosedur yang hanya ditawarkan untuk kalangan negara anggota pertubuhan tersebut.

Prosedur itu bagaimanapun menelan kos tinggi, memakan masa serta penuh dengan kesukaran politik, diplomatik dan komersial.

“Usaha ini perlu dielak oleh kedua-dua pihak iaitu EU serta negara pengeluar minyak sawit dan sebaliknya mencari jalan menerusi perbincangan dan penyelesaian secara sains.

“Ini melalui definisi bersama bagi satu piawaian kelestarian minyak sawit pelbagai hala yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya.

Malah, Kalyana berkata sebarang tindakan sebelah pihak atau pendekatan diskriminasi serta sekatan dagangan juga sewajarnya dielakkan.