DUNGUN - Seorang pemuda terbunuh selepas tercampak keluar dari kenderaan dipandunya dalam nahas jalan raya di kilometer 82.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, malam tadi.

Mangsa, R. Partiban, 25 yang mengalami kecederaan parah maut ditempat kejadian.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, Proton Wira yang dipandu mangsa dipercayai terbabas ke kanan jalan sebelum merempuh pagar sebuah rumah.

Kejadian tersebut mengakibatkan dua buah kenderaan lain turut kemalangan.

Syazreen Syafika Azmi, 23, yang turut terlibat dalam nahas itu berkata, dia cuba mengelak kenderaan mangsa menyebabkan kereta proton saga dipandunya berpusing di tengah jalan.

Dalam masa sama, sebuah lagi Proton Wira tidak sempat mengelak dan merempuh keretanya.

Syazreen berkata, sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kuala Abang dia mengekori sebuah kereta sebelum kereta itu tiba-tiba menekan brek.

"Melihat kereta tersebut brek mengejut saya turut menekan brek menyebabkan kenderaan saya berpusing.

"Sebuah lagi kereta di belakang tidak sempat mengelak dan merempuh kereta saya.

"Saya bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

"Mayat mangsa dari Taman Dato Rashid, Kuantan dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

"Punca sebenar kejadian masih lagi dalam siasatan dan kes disiasat di bawah seksywn 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.